Lain-Lain

Dua atlet podium digantung empat tahun


Muhammad Azroy Hazalwafie

Oleh: SUBKHI SUDARJI

DUA atlet sukan angkat berat di bawah program Podium, Majlis Sukan Negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari dikenakan hukuman penggantungan empat tahun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan media berkata, kedua atlet berkenaan yang berusia 27 dan 19 tahun didapati telah menggunakan bahan terlarang, iaitu metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah Senarai Terlarang (Prohibited List) WADA 2021.

Katanya, pada 21 Mei lalu, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah melaksanakan pengujian kawalan doping (sampel urin) ke atas Muhammad Azroy Hazalwafie (27 tahun) dan Muhammad Ikram Haikal (19 tahun) yang merupakan atlet sukan angkat berat di bawah program Podium, Majlis Sukan Negara.

“Kedua-dua sampel telah dihantar ke Anti-Doping Lab Qatar, sebuah makmal yang diiktiraf oleh World Anti-Doping Agency (WADA) dan keputusan analisis sampel A bagi Muhammad Azroy Hazalwafie dikembalikan pada 17 Jun 2021.

“Keputusan analisis sampel A bagi Muhammad Ikram Haikal pula dikembalikan pada 24 Jun 2021 dengan Adverse Analytical Finding (AAF) untuk bahan terlarang, iaitu metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah Senarai Terlarang (Prohibited List) WADA 2021,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kedua-dua kes ini telah dikendalikan selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 yang mana hak atlet telah diberi keutamaan untuk keadilan, termasuk hak untuk didengar, hak untuk pendengaran yang adil dalam masa yang munasabah oleh panel pendengaran yang adil, saksama dan bebas daripada operasi ADAMAS.

“Proses pendengaran yang komprehensif telah dilaksanakan secara teratur di hadapan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia yang telah dilantik secara bebas.

“Sesi pendengaran untuk Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad telah diadakan pada 23 Oktober 2021 manakala sesi pendengaran Muhammad Ikram Haikal telah diadakan pada 30 Oktober 2021.

“Selaras dengan Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan World Anti-Doping Code 2021, Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia telah memutuskan bahawa kedua- dua atlet tersebut telah membuat pelanggaran artikel 2.1 dan artikel 2.2 Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan kedua-dua atlet digantung daripada sebarang penyertaan sukan selama empat tahun,” katanya.

Tambahnya lagi, arahan ini bermula daripada 16 Julai 2021 iaitu tarikh surat pemberitahuan pertama menurut Peraturan Anti- Doping Agensi Anti- Doping Malaysia (ADAMAS) 2021 sehingga 15 Julai 2025 jam 11.59 malam.

“Kedua-dua atlet boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini kepada pihak ADAMAS dalam masa dua puluh satu (21) hari daripada tarikh surat pemakluman keputusan kepada kedua-dua atlet tersebut,” jelasnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading