
Oleh: MOHD FARIQ
TIADA ungkapan lebih tepat lagi melainkan kecewa.
Semua kecewa. Jurulatih, pemain dan juga penyokong. Tersingkirnya di peringkat kumpulan dengan dua kekalahan menyaksikan pencapaian skuad negara berada dalam ‘kelas’ tersendiri dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020.
Ditanya oleh CAKAP SUKAN kepada ketua jurulatih Harimau Malaya mengenai kemungkinan akan membuat keputusan ‘bermaruah’ kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaik sahaja pulang dari Singapura esok, ini jawapannya.
“Saya serahkan kepada FAM dan pengurusan untuk memutuskan nasib saya kerana kontrak masih lagi berbaki sehingga tahun depan.

“Namun kalau diberi peluang untuk habiskan kontrak, sudah tentu saya akan ‘finalise’ apa kesilapan diri sendiri, apa kena buat dan apa perlu buat,” ujarnya kepada Cakap Sukan dengan nada kecewa.
Sebelum tiba di Singapura sebelum ini, FAM mensasarkan sekurang-kuranganya untuk ke final, namun akhirnya tinggal harapan.
Kegagalan ini menyamaikan rekod pencapaian skuad negara yang tersingkir peringkat kumpulan pada edisi kedua 1998, 2008 dan 2016.
Bagi Cheng Hoe, 53, kekalahan ini juga merupakan momen paling buruk sepanjang bergelar jurulatih dan juga bekas pemain walaupun sebelum ini ada tempoh ‘jatuh bangun’.
Menurut Cheng Hoe, antara faktor kegagalan kali ini termasuk tempoh latihan yang tidak cukup, situasi pandemik Covid-19 dan juga kecederaan pemain.
“Tetapi saya tidak boleh ‘buka mulut’ kerana kekalahan ini amat mengecewakan. Malah tak jangka langsung akan gagal dalam saigan peringkat kumpulan,” jelasnya yang mencatat perlawanan ke-40 (bertemu Indonesia) sepanjang bergelar jurulatih kebangsaan bermula 2017.

Namun dalam masa sama Cheng Hoe tidak menafikan bahawa pasukan ini juga ada kebaikan positif dengan kehadiran pemain-pemain muda baharu seperti Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal, atau Faisal Halim yang mempunyai kelebihan tersendiri.
“Sudah tentu ia pengalaman yang baik untuk pemain-pemain baharu muda ini.”
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya yang tiba di Singapura dengan 24 pemain mencatat dua kemenangan ketika aksi pembukaan kumpulan bertemu Kemboja (3-1), Laos (4-0) dan tewas kepada Vietnam (3-0) diikuti kekalahan memalukan 1-4 kepada Indonesia semalam.






Add Comment