Lain-Lain

Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 : Joffey, Jake tepati ramalan


JAKE Chia Jun Kit (tengah) menerima pingat emas kategori Senior tangan kiri 95 kg daripada wakil penaja Dar Al-Arab, Emil Petrosyan.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

JUARA dunia 2019, Joffey Jolly dan juara kebangsaan, Jake Chia Jun Kit menepati ramalan mengungguli kategori 78 dan 95 kilogram dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 di Hab Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Turut menepati label pilihan ialah naib juara dunia 57 kg, Safuan Asif yang kali ini beralih kepada kategori 63 kg dengan mengalahkan rakan sepasukan Putrajaya, Iryan Syauqi Azhar pada kedua-dua perlawanan akhir tangan kiri dan kanan.

Joffey menewaskan Jong Chi Joon dari Sarawak untuk tangan kiri dan Mohamad Helmi Mohd. Hanapi (Johor) bagi tangan kanan dalam perlawanan akhir sementara Jake dari Putrajaya mengatasi rakan sepasukan, Saifulhisham Shaffie dan Frankie Petrus (Sabah).

Dia yang hampir menerima kejutan sebelum bangkit menerusi pusingan penentuan tangan kiri setelah berjaya bertahan dan menyerap tekanan garang Chi Joon, beralih kepada kategori 78kg berbanding 70 kg ketika bergelar juara dunia (kanan) di Rumia, Poland pada 6 Disember 2019.

Namun penggusti lengan kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini terpaksa akur dengan rakan sepasukan, Calven Petrus dalam pertarungan merebut gelaran keseluruhan tangan kanan kerana lawan mempunyai kelebihan berat badan, 105 kg ke atas.


Jake turut kehilangan gelaran keseluruhan tangan kiri yang dimenanginya dalam Kejohaan Kebangsaan 2019 di Cyberjaya, Selangor juga kepada rakan sepasukan Putrajaya, Nizar Yusof yang lebih ringan, 86 kg.

Lain-lain pemenang kategori berat badan Senior tangan kiri ialah Asri Anuar (Melaka, 57 kg), Dominic Johnny (Sarawak, 70 kg) , Nizar 86kg, Damsi Abdullah (Sabah, 105 kg) dan Calven (105 kg ke atas).

Pemenang lain Senior tangan kanan termasuk Fikrie Asif (Putrajaya, 57 kg), Mohd. Zil Fadli Abd. Halim (Putrajaya, 70 kg), Lukman Nurhakim Noor Jayadi (Johor, 86 kg), Nickelson Rony (Sabah, 105 kg) dan Calveen (105 kg ke atas).

Sebanyak 42 kategori berat badan dengan 201 atlet dari 14 negeri berentap pada kejohanan dengan yang dipertandingkan bagi tangan kiri dan kanan iaitu Senior Lelaki dan Wanita, Belia Bawah 21 Tahun, Remaja Bawah 18 Tahun dan Master.

Setiap pemenang kategori Senior kejohanan ini akan terpilih mewakili Malaysia pada Piala Dunia Zioty Tur di Kuching, Sarawak pada Mac 2022.

Kejohanan Kebangsaan anjuran Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm) ini tidak dapat diadakan pada tahun lalu gara-gara pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Kebangsaan 2021 dengan mengaut 13 pingat emas, 13 pingat perak dan tujuh gangsa diikuti Putrajaya yang bergelar naib juara, 12-11-11 dan tempat ketiga milik Sarawak, 12-7-8.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: