Lain-Lain

Kontinjen Paralimpik negara cemerlang di AYPG 2021


Lee Kher menyumbangkan satu emas, satu perak dan satu gangsa buat negara.

ATLET Paralimpik negara, Zy Lee Kher muncul atlet muda negara paling menyerlah selepas menyumbang satu emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S1-5 dan  satu perak dalam acara 200m kuak kupu-kupu S2-7 serta  gangsa 200m rampaian individu SM5-10 pada kejohanan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021, di Bahrain.

Perenang yang dilahirkan tanpa dua kaki dan cacat di bahagian lengan itu juga dilihat antara bintang dalam pembikinan untuk beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pada kejohanan AYPG yang berakhir kelmarin, kontinjen negara membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa.

Skuad renang menyumbangkan dua emas menerusi Lee Kher dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S1-5 dan Ong Jia Xuan bagi acara 100m kuak dada perempuan SB4-9 manakala Gloria Gracia Wong Sze mengungguli saingan ping pong perempuan kategori SF9-10.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata pencapaian di Bahrain membuktikan betapa pentingnya untuk memberi fokus kepada program pembangunan remaja negara.

“Saya sudah menekankan perkara ini kepada semua pihak berkepentingan tentang keperluan untuk mencari bakat baharu dengan mendedahkan atlet remaja kita lebih awal bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

“Saya gembira bahawa Majlis Sukan Negara khususnya telah melabur dalam membiayai kontinjen untuk temasya kali ini dan mereka kini mempunyai sekumpulan bakat baharu untuk berkembang menjadi Paralimpian pada masa depan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jia Xuan mengungguli bagi acara 100m kuak dada perempuan SB4-9.

Seramai 13 atlet membawa cabaran negara pada AYPG kali ini dan mengambil bahagian dalam enam daripada sembilan acara sukan yang dipertandingkan.

Sebagai rekod, Malaysia mula menyertai AYPG sejak 2009 dan sudah memenangi 102 pingat – 32 emas, 35 perak dan 35 gangsa.

Pada edisi 2017 di Dubai, kontinjen negara yang dibarisi 12 atlet mengambil bahagian dalam lima sukan yang dipertandingkan dan membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: