Lain-Lain

Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia : Malaysia raih gelaran juara lelaki dan Wanita


Pasukan Skuasy Wanita negara yang meraih tempat pertama kejohanan berpasukan Asia.

SKUAD wanita dan lelaki negara merangkul gelaran juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Kejayaan skuad Wanita negara menewaskan juara bertahan 2-1 pada aksi final menyaksikan Malaysia kekal sebagai pasukan paling banyak meraih gelaran berkenaan dengan kejuaraan kali ke-10.

Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila pemain utama negara Rachel Arnold beraksi cemerlang untuk membenam Liu Tsz Ling 11-6, 8-11, 11-7, 11-2.

Hong Kong selaku pasukan kedua paling cemerlang dengan empat kejuaraan, mempamerkan kebangkitan apabila Tong Tsz Wing mengatasi Noor Ainaa Amani Ampandi 11-8, 11-6, 6-11, 11-9 untuk menyamakan kedudukan.

Malaysia bagaimanapun, mengesahkan kejuaraan apabila juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman mendominasi gelanggang dengan kemenangan mudah menundukkan Ho Tze Lok 11-4, 11-3, 11-6.

Sementara itu, skuad lelaki negara turut cemerlang apabila menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 tahun mengatasi India 2-1 pada final kategori lelaki.

Pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow menang mudah menewaskan juara Terbuka Malaysia Saurav Ghosal 12-10, 11-4, 11-8, namun India yang sedang memburu kejuaraan pertama, bangkit menerusi Mahesh Mangaonkar yang menewaskan Mohammad Syafiq Mohd Kamal 11-9, 11- 7, 11-8.

Malaysia bagaimanapun memastikan gelaran Asia keempatnya apabila Ivan Yuen menewaskan Ramit Tandon 11-8, 8-11, 11-3, 11-1.

Eain Yow berkata skuad negara memang sudah menjangkakan perlawanan sengit menentang India, namun ia hanya menjadi pembakar semangat untuk beraksi lebih baik demi meraih kejuaraan itu.

Ivan pula berkongsi rasa lega selepas berjaya menundukkan pemain skuad India, walaupun kecederaan pangkal paha dialaminya pada pertengahan tahun ini memberi kesan kepada prestasinya.

“Saya gembira dapat mengatasi kecederaan sejak pertengahan tahun ini. Saya mempersiapkan diri dengan baik dan bersyukur dapat pulih dari kecederaan dan kembali lebih kuat,” katanya.

Turut hadir berkenan menyaksikan perlawanan akhir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir .  -Bernama-


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: