Antarabangsa

Pengurus kelab Mesir meninggal dunia ketika rai gol pasukan


Adham El-Selhadar meninggal dunia ketika meraikan jaringan gol pasukannya.

Oleh: JJFIRDAUS

PENGURUS sebuah kelab bola sepak di Mesir meninggal dunia pada usia 53 tahun selepas mengalami serangan jantung ketika meraikan gol kemenangan pasukannya pada masa kecederaan.

Adham El-Selhadar, pengurus kelab El Magd rebah ketika meraikan gol kemenangan 1-0 menentang kelab El Zarqa pada minit kedua masa kecederaan dalam perlawanan Liga Kedua Mesir pada Khamis.

Suasana gembira ketika jaringan itu bertukar menjadi sebak apabila El-Selhadar mengalami serangan jantung dan segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, beliau gagal diselamatkan dan kelab mengeluarkan kenyataan rasmi selepas itu dan berita itu disambut dengan perkhabaran duka oleh komuniti bola sepak Mesir dengan dua kelab terbesar negara mengumumkan belasungkawa kepada beliau.

Ismaily SC, kelab yang pernah dilatih oleh El Selhadar mengeluarkan kenyataan berkata “Ahli Lembaga Pengarah Ismaily SC merakamkan ucapan takziah kepada Adham El-Selhadar, bintang dan mantan jurulatih kelab. Dengan itu, kami mengumumkan perintah berkabung selama tiga hari sebagai tanda menghormati pemergian beliau”.

Seteru utama, Al Ahly juga mengeluarkan kenyataan dengan kesemua yang terlibat dengan kelab Al Ahly bersedih dengan berita ini. “Kami berdoa kepada Yang Maha Esa semoga rohnya dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam syurga”, kata kenyataan itu.

Kelab El Magd juga mengumumkan akan berkabung selama enam hari manakala perlawanan berikutnya menentang Pioneers FC telah ditangguhkan.

Menurut rekod, El-Selhadar mempunyai rekod yang cemerlang sebagai pemain dengan memenangi Liga Premier Mesir dan Piala Mesir bersama kelab Ismaily SC.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: