Hoki

Hoki: Malaysia tutup kempen JWC di tempat ke-8


Malaysia menamatkan saingan di tempat kelapan selepas tewas kepada Sepanyol. Foto: FIH

MALAYSIA terpaksa berpuas hati menamatkan kempen Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 di kedudukan kelapan selepas tewas 1-4 kepada Sepanyol pada penentuan tempat ketujuh dan lapan di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India pada Ahad.

Bagaimanapun, skuad hoki projek khas lelaki kebangsaan boleh berbangga dengan kejayaan itu kerana sekurang-kurangnya mereka telah berjaya mencapai sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Mungkin pencapaian lebih baik mampu dilakar oleh skuad bimbingan Wallace Tan sekiranya para pemain dapat melakukan persediaan yang lebih mantap jika tidak disebabkan pandemik Covid-19 menyerang dunia.

Pujian sebenarnya harus diberikan kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan kerana masih berjaya memberikan tentangan sengit ketika tidak banyak persiapan dapat dilakukan.

Aksi skuad remaja negara bertemu Sepanyol hari ini. Foto: FIH

Tindakan MHC memberikan skuad projek menyertai Siri Jelajah United Kingdom juga perlu diberikan kredit kerana ia sememangnya amat membantu sehingga membolehkan skuad remaja negara mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sebenarnya, Malaysia sudah bermula baik pada aksi penentuan tempat ketujuh dan lapan itu apabila mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan padang kapten, Akhimullah Anuar Esook.

Bagaimanapun, Sepanyol bangkit menyamakan kedudukan tidak lama kemudian melalui Eduard De Ignacio Simo sebelum Pau Cunill menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-49.

Hasrat skuad negara untuk bangkit tidak kesampaian apabila Sepanyol terus mengukuhkan cengkaman dengan tambahan dua lagi gol pada suku masa terakhir menerusi jaringan Pepe Cunill dan Pau Cunill pada minit ke-55 dan 58.

Ia adalah kekalahan pertama Malaysia kepada Sepanyol dalam empat pertembungan terdahulu yang menyaksikan skuad negara menang tiga perlawanan dan seri sekali sewaktu edisi JWC 2009.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: