Hoki

HJWC: Malaysia mula langkah kanan menang ke atas Chile


Pemain-pemain meraikan kemenangan ke atas Chile. Foto: FIH

PASUKAN Malaysia membuka kempen Piala Dunia Hoki Remaja (HJWC) 2021 dengan langkah kanan apabila menewaskan Chile 2-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Kalinga pada Rabu.

Kemenangan itu amat bermakna buat skuad hoki projek khas lelaki kebangsaan untuk bermula dengan rentak kemenangan sebelum turun bertemu naib juara edisi 2016, Belgium dan Afrika Selatan selepas ini.

Dalam aksi itu, corak permainan kedua-dua pasukan dilihat seimbang apabila masing-masing buntu mencari jalan untuk mencipta banyak peluang jaringan dalam suku masa pertama dan kedua.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol Malaysia, Che Shahrul Azmi Che Saupi cemerlang dalam tempoh 30 minit pertama itu menggagalkan beberapa pukulan sudut penalti daripada Chile.

Gol yang dicari-cari Malaysia tiba dalam suku masa ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh pemain pertahanan, Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-34.

Jaringan itu terhasil daripada gerakan set-piece menarik antara tiga pemain sebelum Kamarulzaman melakukan pukulan deras menewaskan penjaga gol Chile, Pedro Hernandez.

Ia sekali gus menyemarakkan lagi semangat barisan pemain negara untuk terus menguasai permainan dan melancarkan serangan demi serangan ke arah gawang Chile.

Aksi pemain negara ketika bertemu Chile. Foto: FIH

Hasilnya, Malaysia berjaya menggandakan kedudukan, sekali lagi berpunca daripada gerakan set-piece pukulan sudut penalti yang menarik untuk membolehkan Syarman Mat Tee menjaringkan gol kedua pada minit ke-43.

Chile berjaya merapatkan kedudukan 2-1 melalui Sebastian Wolansky seminit sebelum tamat permainan, namun ia sudah terlambat untuk mencipta sesuatu dalam aksi itu.

Biarpun gagal menambah jaringan, namun ia sudah cukup buat Malaysia mencatat kemenangan ketiga ke atas Chile selepas pernah melakukannya dalam dua pertemuan terdahulu sewaktu edisi JWC 1979 dan JWC 2001.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu akan meneruskan aksi kedua pada 26 November ini menentang Belgium yang ketika ini mengungguli carta Kumpulan A hasil kemenangan 5-1 ke atas Afrika Selatan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: