Antarabangsa

Al-Hilal muncul kelab terhebat Asia


Al-Hilal muncul juara Kejuaraan Liga AFC 2021. Foto: ArabNews

Oleh: JJFIRDAUS

KELAB Arab Saudi, Al-Hilal muncul juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas membenam kelab Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Raja Fahd, Riyadh.

Menerusi kemenangan ini, Al-Hilal muncul pemenang terbanyak kejohanan ini dengan empat kejuaraan. Kali terakhir mereka menjuarai kejohanan ACL ini adalah pada tahun 2019 lalu selepas menewaskan Urawa Reds.

Gergasi Arab Saudi ini tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila mendahului seawal minit pertama menerusi rembatan Nasser Al-Dawsari yang berjaya melepaskan rembatan deras ke gawang Pohang.

Gol pemain pertahanan seawal 17 saat itu adalah gol terpantas di kejohanan kelab terbaik Asia ini sekaligus berjaya memecahkan rekod yang dilakukan 16 tahun dahulu.

Namun gol awal itu dilihat tidak menggangu tempo permainan Pohang yang berjaya melakukan beberapa percubaan bahaya menerusi Sin Jin-Ho tetapi percubaan hebat beliau terkena palang gol.

Kegembiraan 50,000 penyokong tuan rumah bertambah apabila Moussa Marega berjaya menjaringkan gol kedua selepas menerima umpanan cantik Bafetimbi Gomis pada minit ke-64 untuk memastikan kejuaraan kembali ke tanah Arab Saudi.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa berkata “Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya mengucapkan tahniah kepada Al-Hilal kerana berjaya mencipta sejarah kejohanan dengan kemenangan di final dan juga kerana konsistensi mereka dalam pertandingan ini.

“Al-Hilal mempunyai rekod yang baik di Liga Juara-Juara AFC dan kejayaan terbaharu ini adalah bukti kerja keras yang berterusan dan juga bakal menjadi inspirasi kepada banyak pemain dan kelab lain di Asia,” ujar Shaikh Salman.

Pemain Al-Hilal, Salem Al Dawsari dinamakan Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan selepas aksi yang cemerlang sepanjang kempen ACL 2021 ini. Selain itu, Al-Hilal juga menerima anugerah Fair Play dan penyerang kelab Al Duhail, Michael Olunga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan gol.

Menerusi kejayaan ini, Al-Hilal bakal mewakili Asia dalam Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA di Emiriah Arab Bersatu bersama-sama kelab Chelsea, Monterrey, Auckland City, Al Jazira, Al Ahly dan pemenang antara Flamengo atau Palmeiras.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: