Bola Sepak

FAM ambil tindakan berdasarkan penilaian pengadil bertugas – S Sivasundaram


Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, pihaknya hanya akan mengambil tindakan berdasarkan penilaian dibuat penilai pengadil bertugas pada sesuatu perlawanan.

Jelasnya, pengadil sentiasa berkecuali dan mengikuti undang-undang permainan ditetapkan FIFA.

“Setakat ini dalam saingan Piala Malaysia, saya tidak mendapat apa-apa aduan. Dalam kempen liga sebanyak 132 perlawanan, saya baru terima sembilan peratus aduan, jadi mana-mana boleh diperbaiki kita akan perbaiki.

“Kita mempunyai bahagian Pembangunan Pengadil dan mana-mana pengadil yang didapati tidak menunjukkan prestasi akan dirujuk ke situ. Jika pengadil itu bersalah kita akan hukum, tapi kalau dia tidak bersalah sudah tentu FAM akan sentiasa melindungi pengadil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mutu pengadilan semasa perlawanan separuh akhir pertama Terengganu FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, semalam.

Ini selepas penyokong di laman media sosial mendakwa pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah gagal memperagakan aksi yang terbaik apabila ‘terlepas’ layangan kad yang sepatutnya diberikan susulan beberapa situasi yang berlaku.

S Sivasundaran yang juga merupakan Timbalan Presiden FAM berkata, segala kritikan dan cadangan akan diambil untuk memperbaiki segala kelemahan, dalam memastikan usaha memartabatkan pengadil tempatan tercapai.

Dalam perkembangan sama juga, Sivasundaram berkata, FAM masih dalam kajian mengenai penggunaan VAR dalam saingan di peringkat domestik yang dianggarkan menelan kos sehingga RM20 juta.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: