
STATUS Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford akhir terjawab selepas Manchester United mengesahkan sudah memecat pengurus itu.
Tampaknya, kesabaran pengurusan tertinggi kelab sudah hilang selepas prestasi turun naik skuad Solskjaer itu, lebih-lebih lagi dengan kekalahan mengejut 1-4 kepada Watford dalam aksi Liga Perdana pada Sabtu.
Sebelum ini spekulasi masa depan pengendali berusia 48 tahun itu hangat diperkatakan selepas tewas kepada Liverpool dan Manchester City beberapa minggu lalu.
Ia menyaksikan Solskjaer tewas tujuh perlawanan dalam 13 perlawanan musim ini.
Jurulatih barisan pasukan utama Michael Carrick dilantik sebagai pengurus sementara sebelum United menemui pengganti Solskjaer.
Sementara itu, antara nama-nama yang disebut memikul tugas utama di Old Trafford ini termasuk Brendan Rodgers, Zinedine Zidane, Mauricio Pochettino dan Erik ten Hang.
“Manchester United mengumumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus. Ole akan sentiasa menjadi legenda di Manchester United dan agak dukacita dengan keputusan sukar ini.
“Walaupun beberapa minggu kebelakangan ini keputusan mengecewakan, mereka tidak sepatutnya tidak lupa semua kerja yang telah dilakukan sejak tiga tahun lalu dengan membina semula asas kejayaan jangka panjang.
“Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, bukan sahaja untuk kisahnya sebagai pemain, tetapi sebagai seorang lelaki yang hebat dan pengurus yang memberikan kami banyak momen hebat. Dia akan selalu dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United.
“Michael Carrick akan menguruskan pasukan untuk perlawanan akan datang, sementara kelab mencari pengurus sementara sehingga akhir musim ini,” jelas kenyataan kelab.
Add Comment