Gaya Hidup

KKIS perlu peranan semua pihak – KBS


 

Lian Ker (kanan) menyaksikan salah seorang pengusaha industri sukan memberikan taklimat di Majlis Pelancaran KKIS 2021.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu semua pihak memainkan peranan dalam pembentukan ekosistem industri sukan yang kondusif supaya ia mampu membantu menjana ekonomi negara.

Timbalan Menterinya , Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, berkata melalui Konvensyen Kerjaya Industri Sukan (KKIS) 2021 peningkatan kesedaran mengenai ekosistem industri sukan negara akan disebarkan kepada orang ramai.

“KKIS membabitkan Dasar Industri Sukan Negara akan menampilkan pemain industri sukan untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) dan Sekretariat Industri Sukan (SIS) dalam menggubal dasar yang lebih mantap, dan menaikkan industri ke tahap setaraf dengan negara-negara maju.

“Seperti yang dimaklum, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam penjanaan industri sukan seperti negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun, Australia dan China misalnya.

“Malah, di negara AS, industri sukan merupakan industri utama ekonomi yang dijangkakan meningkat dari AS$71.06 bilion ke AS$83.1 bilion pada tahun 2023,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran KKIS 2021.

Dalam perkembangan sama, KKIS akan mengutamakan penglibatan wanita dalam industri sukan dari segi memberi peluang kepada mereka bergiat dalam aspek industri sukan seperti penyiaran sukan, teknologi, pendidikan, pembuatan dan sebagainya.

“KBS bersama SIS sedang berusaha mengumpul data dan statistik dari pelbagai badan sukan serta kerajaan untuk memutuskan hala tuju masa depan industri sukan dan asas mereka untuk menggubal dasar yang kukuh untuk pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara.

“Menceburi bidang sukan boleh dikira bermanfaat kerana terdapat potensi untuk dijadikan kerjaya kepada anak muda negara ini dan tidak membazirkan masa sebagai aktiviti beriadah sahaja,” ujarnya.

KKIS 2021 anjuran SIS dan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) merangkumi empat komponen iaitu libat urus Dasar Industri Sukan Negara, Seminar Industri Sukan Wanita, Seminar Kerjaya dan Profesional Industri Sukan serta Pameran Industri Sukan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: