EPL

Spurs pecat Nuno Santo


TOTTENHAM Hotspur secara rasmi telah memecat pengendalinya, Nuno Espirito Santo selepas kekalahan 0-3 di tangan Manchester United awal pagi Ahad lalu.

Pengumuman pemecatan jurulatih kelahiran Portugal ini diumumkan menerusi laman web rasmi kelab bersama tiga kakitangan kejurulatihannya iaitu Ian Cathro, Rui Barbosa, dan Antonio Dias.

Pengarah sukan Tottenham Fabio Paratici berkata langkah ini perlu dilakukan, walaupun dengan berat hati namun berterima kasih kepada Nuno dan kakitangan kejurulatihannya.

“Saya tahu betapa Nuno dan kakitangan kejurulatihannya mahu berjaya. Saya kesal kerana kami terpaksa mengambil keputusan ini.

“Nuno adalah seorang yang budiman dan akan sentiasa dialu-alukan di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau dan kakitangan kejurulatihannya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka.” jelasnya.

Nuno sebenarnya baru sahaja dilantik sebagai pengurus Tottenham pada awal musim ini.  Mereka telah memenangi tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini namun selepas itu prestasi Spurs terus merosot.

Tottenham kini menghuni di tangga ke-8 dengan 15 mata selepas tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Manchester United dalam perlawanan terakhir mereka.

Nuno adalah pengurus ketiga yang kehilangan pekerjaan dalam saingan Liga Perdana musim ini, sebelum ini, terdapat Xisco Munoz, yang dipecat oleh Watford dan Steve Bruce, yang meninggalkan Newcastle United.

Tottenham kini dilaporkan secara meluas akan mendekati Antonio Conte untuk mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Nuno selepas Conte dikatakan masih menganggur selepas meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: