
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PEMBENTANGAN Bajet 2022 menyaksikan hanya atlet para negara dan e-Sukan sahaja yang menerima peruntukan bagi melaksanakan program-program pada tahun hadapan.
Ia menyaksikan pengurangan bajet sukan paling ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini yang menumpukan kepada program-program pembangunan sukan negara.
Secara keseluruhan, sebanyak RM30 juta diperuntukan untuk dua tumpuan utama iaitu RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meningkatkan program latihan atlet para menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 dan melaksanakan Liga Sukan Para.
Manakala, RM20 juta bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat kecemerlangan Sukan Dron.

Berbanding tahun ini, Bajet 2021 memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi program-program pembangunan sukan sedia ada iaitu hoki, ragbi, badminton dan berbasikal di samping program pembangunan atlet wanita dan e-Sukan.
Dalam pada itu, Bajet 2022 ini juga sekali lagi menyaksikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tidak tersenarai buat tahun kedua berturut-turut.
Kali terakhir NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menerima peruntukan khas daripada kerajaan pada tahun 2020 sebanyak RM45 juta, jumlah berganda daripada tahun 2019 iaitu RM15 juta.

NFDP sentiasa berada dalam bajet Belanjawan Negara sejak ia ditubuhkan pada tahun 2014 dan dianggap sebagai program nasional yang menumpukan kepada pembangunan bola sepak akar umbi.
Malah program ini juga telah menunjukkan hasilnya apabila seramai sembilan bekas pelatih NFDP telah berjaya menempatkan diri mereka dalam skuad Bawah 22 Tahun yang kini sedang beraksi untuk Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun di Mongolia.
Untuk rekod, NFDP menerima bajet RM10 juta (2014), RM7 juta (2015), RM3.5 juta (2016) dan RM3.5 juta (2017).
Sementara itu, ketiadaan bajet bagi acara-acara sukan lain pastinya memaksa pihak pengurusan untuk lebih berhati-hati dalam mengatur program latihan atau persiapan menjelang beberapa temasya sukan yang dijadualkan berlangsung tahun depan iaitu Sukan SEA Ke-31 Hanoi (Mei), Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou, China (10-25 September).
Add Comment