
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin mengakui perasaannya ‘bercampur baur’ selepas mendengar berita gembira peruntukan RM10 juta dalam Bajet 2022 kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program atlet-atlet para negara.
Jelas Megat Shariman, ia sesuatu yang sangat melegakan memandangkan MPM sendiri mempunyai perancangan teliti untuk program pembangunan akar umbi pencarian atlet para.
“Sebenarnya, sebelum pembentangan bajet ini diumumkan, saya sudah menyerahkan kertas kerja mengenai program pembangunan untuk memohon peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Jadi apabila dengar Bajet 2022 semalam (Jumaat), saya sangat gembira kerana atlet-atlet para diberi perhatian.
“Saya berharap MSN mempertimbangkan untuk memberikan separuh daripada peruntukan itu kepada MPM bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan di peringkat akar umbi.
“MSN boleh menggunakan lebihan RM5 juta untuk program latihan elit manakala baki RM5 juta lagi boleh diberikan kepada MPM untuk merangka program akar umbi.
“Program akar umbi dan pencarian bakat seawal usia 12 tahun sehingga ke peringkat klasifikasi atlet. Bagi program elit, MSN mempunyai program yang sangat bagus setakat ini. Cuma pembangunan atlet para biarlah MPM uruskan,” kongsinya kepada Cakap Sukan.
Sebelum ini Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peruntukan itu akan digunakan MSN bagi memperhebatkan lagi pembangunan sukan para dan memperbanyakkan penganjuran pertandingan di peringkat domestik bagi melahirkan barisan jaguh baharu sukan itu.
“Ini kali pertama peruntukan kepada atlet para khusus bagi pembangunan sukan para negara dan sudah tentu ia dapat merancakkan lagi usaha membangunkan sukan para di peringkat domestik supaya lebih banyak bakat-bakat terpendam dalam kalangan OKU (orang kurang upaya) dapat kita ketengahkan.
“Dengan cara itu kami berharap dapat membantu mereka supaya lebih berani tampil keluar (menceburi bidang sukan) kerana ada sesetengah kes ibu bapa lebih suka ‘menyorokkan’ anak-anak (OKU) mereka,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Add Comment