Bola Sepak

Selangor FC terus ‘menumpang’ di Stadium MBPJ sehingga 2023


Amirudin melihat sebahagian jersi-jersi lama yang dipamerkan di Galeri Hall Of Fame Selangor.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

SELANGOR FC terpaksa terus menumpang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang tuan rumah apabila Stadium Shah Alam dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada awal 2024.

Gergasi Merah Kuning ketika ini berkongsi dengan Petaling Jaya City FC menggunakan stadium MBPJ bagi saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal bersambung semula minggu depan.

Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan proses naik taraf yang sepatutnya dijalankan tahun ini terganggu.

“Saya telah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebelum ini bersama pegawai utama mereka, kita mempunyai jadual sendiri, mungkin akan ambil masa satu atau dua tahun, sepatutnya hujung tahun ini tetapi Covid-19 menggangu perancangan.

“Mungkin Selangor FC perlu menggunakan Stadium MBPJ untuk tempoh setahun atau dua tahun lagi, Stadium Shah Alam akan mengalami perubahan sepenuhnya termasuklah persekitaran,” jelasnya pada sidang media pada majlis Perasmian Galeri Hall Of Fame Selangor di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Beliau berkata, memandangkan beberapa kemudahan aset yang ada di Stadium Shah Alam hampour 30 tahun digunakan ia akan digantikan dengan yang baharu untuk keselesaan semua pengunjung.

“Sebelum ini kita jangkakan kos naik taraf keseluruhan stadium dan kawasan persekitaran pada 2019 adalah sebanyak RM200 juta hingga 300 juta, buat masa ini kita akan dapatkan pandangan dari semua pihak mengenai konsep yang akan dibangunkan.

“Bagi pembida mahupun syarikat yang ingin membangunkan Stadium Shah Alam dan persekitarannya, keutamaan perlu diberikan kepada Stadium itu sendiri barulah kemudahan-kemudahan asas persekitarannya,” jelasnya.

Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 penonton mendapat ‘sentuhan’ arkitek ternama negara, Hijjaz Kasturi dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya pada 1994 hingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil siap dibina.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: