Badminton

Rashid kongsi kelemahan Zii Jia, dedah kesan mental pemain


Zii Jia kini berada di ranking kelapan terbaik dunia.

 

PASUKAN Indonesia kembali menunjukkan kuasanya dalam sukan badminton selepas dinobatkan sebagai juara Piala Thomas 2020 menewaskan musuh tradisi China di Aarhus, Denmark.

Selepas 19 tahun, piala berprestij ini kembali ke Indonesia yang menyaksikan kali terakhir mereka menjulangnya pada tahun 2002 di Guangzhou, China.

Berakhirnya kejohanan dwitahunan ini menyaksikan pasukan Malaysia perlu menunggu edisi seterusnya untuk melihat sejauh mana langkah pemain-pemain negara  boleh mengatasi pencapaian kali ini yang hanya mampu beraksi di saingan suku akhir sahaja.

Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir pada 2016 ketika aksi di Kunshan, China, manakala pencapaian terbaik terakhir merangkul gelaran naib juara pada edisi ke-28 di India 2014 dengan tewas kepada Jepun 3-2.

Zii Jia bersama skuad badminton negara berdepan dengan aksi ‘back to back’ sejak September lalu.

Tidak dinafikan sejak bulan lalu, tumpuan peminat sukan tanah air tertumpu kepada badminton dengan aksi ‘back to back’, bermula Piala Sudirman sebelum aksi Piala Thomas dan Piala Uber.

Dan sudah tentu perseorangan lelaki utama yang juga kapten pasukan negara Lee Zii Jia sentiasa menjadi bualan.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mendedahkan Zii Jia telah menunjukkan kualiti seorang pemain handalam dunia sepanjang aksi Piala Thomas berlangsung.

Pun begitu, Rashid yang juga antara pemain dalam skuad negara ketika menjulang trofi terakhir buat Malaysia pada 1992 memberitahu pemain muda berusia 23 tahun ini perlu memperbaiki kelemahannya.

“Zii Jia masih belum stabil lagi tetapi tetapi dah ada tahap pemain utama sebab dia pernah kalahkan semua 10 pemain terbaik dunia.

Rashid yakin dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi corak permainan Zii Jia akan lebih konsisten. Foto: IG Rashid Sidek

“Cuma dari segi konsisten itu masih belum ada lagi. Sekurang-kurang dia perlukan antara satu hingga dua tahun untuk berusaha jadi lebih konsisten,” jelasnya yang merangkul gelaran pemain pertama dunia pada usia 28 tahun (1997).

Dalam pada itu, Rashid mengakui terlalu banyak pertandingan boleh memberi kesan kepada mental pemain, malah kekerapan beraksi pada kejohanan besar juga mampu menyumbang kepada kejatuhan prestasi.

“Bila pergi ke kejohanan besar, jangkaan orang ramai mesti nak dia menang, sekurang-kurangnya ke final atau pun juara. Jadi di situ memang satu bebanan yang berat untuk dia,” katanya dipetik daripada Bernama.

Pemain kelahiran kedah itu kini berada di ranking kelapan dunia dengan merekodkan kemenangan ke atas semua lawannya dalam kelompik 10 terbaik dunia termasuk Kento Momota (Jepun), Viktor Axelsen (Denmark), Chou Tien Chen (Taiwan), Chen Long (China) dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: