Badminton

Piala Thomas; Norza kecewa aksi pemain utama


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Mohamad ternyata kecewa dengan prestasi dipamerkan beberapa pemain sandaran utama dalam kejohanan Piala Thomas, baru-baru ini.

Gagal memberikan aksi konsisten selain kurang bertenaga selepas mengharungi banyak kejohanan dalam tempoh singkat antara beberapa elemen yang menyebabkan skuad Piala Thomas kali ini hanya mampu melangkah ke pentas suku akhir sahaja.

Jelasnya, beliau seakan kecewa dengan beberapa sandaran utama seperti Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas gagal membutirkan mata ketika menentang Indonesia di suku akhir.

Katanya, dia akan berbincang bersama Pengarah Teknikal BAM Wong Choon Hann untuk mencari kaedah terbaik supaya barisan pemain yang diturunkan nanti lebih menyakinkan dan bertenaga terutama membabitkan mental dan fizikal.

“Lihat kepada pemain muda, isu sekarang ini adalah tidak konsisten dan kurang kekuatan fizikal apabila menyertai Piala Sudirman, kemudiannya Piala Thomas dan seterusnya nanti Terbuka Denmark.

“Kita boleh lihat pemain perseorangan Indonesia, Jonatan Christie setiap hari bermain selama sejam untuk mengekalkan keupayaannya apabila beraksi di banyak kejohanan.

“Pada masa sama, kita akan fokus kepada sains sukan dan tempoh pemulihan supaya barisan pemain cepat pulih. Perkara itu sangat penting dan kita akan teliti kelemahan terbabit,” katanya.

Pada kejohanan Piala Thomas di Aarhus, Denmark baru-baru ini, skuad Malaysia gagal mara ke separuh akhir apabila tewas di tangan Indonesia 0-3.

Sandaran utama perseorangan lelaki Lee Zii Jia tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 17-21 dalam tempoh 51 minit.

Cabaran negara diteruskan beregu lelaki negara yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik namun akur dengan kekalahan 17-21, 21-16, 15-21 kepada beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: