Gaya Hidup

Bekas pemain Akademi Johor FC kini petinju profesional, “Mahu bantu anak muda tanpa hala tuju”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Adli merangkul bersama tali pinggang kejuaraan ketika aksi di Singapura 2019.

Oleh: SURYATI MOHD NOR/ Foto: IG ADLI GOLDENBOY

MASIH segar dengan tali pinggang kejuaraan Kejuaraaan UBO Inter-Continental minggu lalu, semangat petinju negara Adli Hafidz Mohd Fauzi semakin membuak-buak untuk terus melangkah ke pentas yang lebih tinggi.

Atlet kelahiran Johor Bharu berusia 31 tahun ini dinobatkan sebagai juara kategori baharu yang disertainya, middleweight 72.6 kilogram menewaskan pencabar berpengalaman tuan rumah, Robert Kopa dengan pukulan TKO (Technical Knockout).

Selain kemenangan bermakna bagi Adli yang digelar ‘GoldenBoy’ ini, tumpuan lebih menarik dari segi sisi perjalanannya sebelum mengecapi kejayaan yang akan membawanya ke Kejuaraaan Dunia Disember ini.

Adli membawa balik tali pinggal kejuaraan di Jakarta minggu lalu.

Kali terakhir Adli menyertai perlawanan pada 2019 di Singapura WBA Asia South Championship. Dan selepas itu, lebih setahun bapa kepada dua orang cahaya mata ini tidak beraksi di gelanggang berikutan pandemik Covid-19.

Namun, tiada aksi ‘bertumbuk’ tidak menjadikan Adli ‘goyang tangan’ sahaja, sebaliknya dalam tempoh inilah dia bangkit membina fizikal dan kekuatan secara peribadi. Dia terus fokus dan konsisten menurunkan berat badannya sebanyak 10 kilogram untuk berada dalam kategori baharunya ini.

“Sepatutnya Mei lalu saya menyertai Kejohanan Tinju ASBC di Dubai, namun terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan selepas rakan sepasukan positif Covid-19.

“Selepas itu saya tidak toleh ke belakang lagi. Saya terus maju dan berlatih sehingga mendapat tawaran berlawan di Jakarta. Dan itulah satu-satunya peluang terbaik yang tidak akan saya lepaskan.

Adli berusaha menurunkan berat badannya untuk kategori middleweight.

“Alhamdullilah saya berjaya menewaskan petinju yang mempunyai rekod 14-9-0 (Kopa). Dan kemenangan ini juga saya berjaya perbaiki rekod lapan ke sembilan kali rekod tanpa kalah dan ‘knockout’ lima kali. Tumpuan saya selepas ini adalah UBO World Championship,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Punca bergelar petinju

Mengimbas kembali penglibatannya dalam arena tinju, pemegang pingat perak Sukan SEA 2017 ini memberitahu dia sebenarnya adalah bekas pemain muda bola sepak.

“Pada tahun 2005 saya menyertai Akademi Bolasepak Johor FC. Namun ia tidak lama dalam bola sepak kerana minat pada sukan tinju lebih mendalam. Mungkin darah tinju mengalir dalam badan saya selepas arwah datuk dulu pun seorang petinju di kem tentera.

“Setahun selepas itu, saya masuk tinju dan berjaya mewakili Johor ke Sukan Malaysia (Sukma) di Kedah. Pengaruh selalu menonton aksi Prince Naseem, Sapok Biki dan Oscar De La Hoya (bekas pentinju Amerika Syarikat) juga antara mengapa saya minat tinju.

 Adli memberitahu jika tidak terlibat dengan sukan tinju, dia pastinya bergelar pemain bola sepak.

“Saya masih ingat lagi dulu, ketika Sapok Biki menang (pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998), saya tengok ramai orang bersorak dan orang mengangkatnya sebagai wira. Dari situ, saya tanam keazaman nak jadi seperti dia satu hari nanti,” jelas Adli.

Usia bukan penghalang

Menurut Adli, biarpun usianya semakin meningkat ia tidak menghalang untuk dia terus mencapai apa yang diinginkan dalam sukan tinju ini.

Menjadikan Cristiano Ronaldo (pemain bola sepak Manchester United) sebagai idolanya dari segi penjagaan fizikal, Adli terus menjaga disiplin dalam latihannya.

“Hari-hari saya tengok apa dia makan apa, cara dia berlatih kerana pada usianya 36 tahun dia masih mampu bermain di peringkat tertinggi, mengapa saya tidak boleh?

“Bagi saya, pada usia sekarang ini lebih kepada perasaan positif kerana dapat rasakan tumbukan lebih laju, kuat dan pantas berbanding sebelum ini.

“Tidak dinafikan empat faktor penting yang saya memang titikberatkan iaitu jaga pemakanan, disiplin, konsistensi dan pemulihan menjadikan saya berada di tempat sekarang.

“Malah saya juga bersyukur kerana persediaan dari segi program ‘fitness and conditioning’ dibantun oleh jurulatih ISN (Institut Sukan Negara).

“Penghargaan juga diberikan kepada ISN kerana membantu dalam persiapan saya. Terima kasih Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli dan timbalan Zawawi Zawawi yang banyak membantu. Malah ISN juga banyak melancarkan urusan saya dari segi sokongan dan surat menyurat,” jelasnya.

Adli mahu memiliki akademi tinjunya sendiri satu hari nanti.

Impian dan harapan

Menurut Adli, dia mengimpikan untuk membuka akademi tinjunya sendiri satu hari nanti.

“Selain minat yang mendalam dalam sukan ini, saya mahu membantu anak-anak muda yang tiada hala tuju, mengajak mereka menyertai tinju kerana anda akan tahu tanpa usaha anda tidak akan berjaya.

“Setakat ini saya sudah ada dua orang petinju muda dan akan diserap ke akademi sendiri kelak,” tambahanya yang bersyukur kerana mendapat restu dan sokongan daripada ibu bapa serta isterinya, Nur Hanna Diana Turiman.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: