Gaya Hidup

Dhabitah kini bergelar mahasiswi…Tahniah


KEPADATAN mengharungi kejohanan di peringkat antarabangsa tahun depan ditambah dengan status mahasiswi nyata bukan bebanan buat penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

Penerjun berusia 22 tahun itu yang mengikuti pengajian Izajah Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi nyata mempunyai cara tersendiri untuk melalui cabaran tersebut.

“Benda macam ini mesti ada cara dia. Pertama sekali saya akan berbincang dengan pensyarah. Selepas itu saya akan berjumpa dengan jurulatih.

“Saya akan cakap kepadanya bahawa pada hari begini-begini saya ada begini-begini dan dia kena lepaskan saya untuk saya belajar.

“Contohnya saya ada kelas pagi, kemudian sebelah petang saya akan turun berlatih. Malam pula saya akan siapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

“Saya rasa semua atlet buat perkara sama. Begitulah perancangan saya,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Majlis Amanat Naib Canselor dan Minggu Mesra Mahasiswa UKM, Bangi.

Beberapa kejohanan dunia yang bakal dilalui atlet kelahiran Kuala Lumpur ini ialah Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

Olimpian negara itu merupakan antara 6,225 pelajar baharu yang terpilih untuk mengikuti pengajian di UKM bagi sesi akademik 2021/2022.

Dhabitah merupakan antara calon yang berjaya melanjutkan pengajian secara Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan akan mengikuti pengajian tersebut di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Bangi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d