Hoki

Malaysian Tigers teruskan rentak kemenangan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Barisan pemain Malaysian Tigers turun kali kedua menentang Wales awal pagi tadi.

SKUAD Senior Lelaki Kebangsaan meneruskan rentak kemenangan kedua berturut-turut ke atas Wales pada perlawanan ujian ketiga, Siri Jelajah United Kingdom 2021 di Wales Hockey Centre awal pagi semalam.

Jika pada aksi pertama Malaysian Tigers mengatasi lawan 2-1 sebelum ini momentum kemenangan berjaya dikekalkan apabila mengatasi lawan yang sama dengan keputusan 4-3.

Bermula suku pertama, pintu gol negara diuji apabila Wales terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan stroke yang disudahkan oleh Joseph Naughalty sebelum pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim kembali mengikat kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Skuad negara kembali didepan 2-1 pada minit ke-26 apabila sekali lagi kelebihan pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada gol kali ini menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk aksi separuh masa pertama ditutup dengan kelebihan buat kem negara.

Minit ke-44, Wales kembali mengejar kedudukan selepas Gareth Furlong menyudahkan pukulan sudut penalti namun kedudukan 2-2 tidak kekal lama apabila giliran Faizal Saari mencatat nama selaku penjaring seminit kemudian hasil gol padang untuk kedudukan berubah 3-2.

Gol kempat Malaysian Tigers hadir menerusi satu lagi gol gerakan padang kali ini jaringan tersebut disumbangkan oleh Shello Silverius pada minit ke-54. Seakan perlawanan dilihat akan tamat dengan kedudukan 4-2, Wales yang dihadiahkan dengan pukulan storke tidak mensia-siakan kelebihan tersebut apabila sekali lagi Joseph Naughalty mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-60 untuk perlawanan tamat dengan keputusan akhir 4-3.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, A Arulselvaraj menganggap kemenangan yang diraih oleh anak-anak buahnya hari ini merupakan sesuatu yang cukup manis kerana kemenangan ini juga akan membantu pasukan negara untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia.

“Perlawanan hari ini kami dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti dan kami menjaringkan gol daripada kedua-duanya sementara lawan yang menerima empat pukulan sudut penalti menjaringkan satu gol sementara satu lagi penalti stroke.

“Aksi hari ini, disiplin pemain di atas padang tidak beberapa baik menyebabkan kami mengutip tiga kad hijau dan satu kad kuning.

“Pasukan Wales menggunakan kekurangan kami dengan menjaringkan gol termasuk gol pukulan stroke dan kesilapan-kesilapan tersebut akan kami nilai kembali dalam sesi analisis video serta memperbaikinya.

“Jika dilihat pertemuan terakhir Malaysia dan Wales, ia aksi yang sengit di mana pertemuan terakhir Malaysia menewaskan mereka 2-1. Namun untuk aksi hari ini, apa yang dapat kami pelajari adalah untuk menggunakan setiap peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Kekuatan pasukan negara adalah kelajuan dan kami akan membawa keyakinan yang ada ini untuk perlawanan seterusnya,” ujar Arul.

Selepas ini Malaysian Tigers akan melalui perlawanan ujian keempat yang juga merupakan aksi kelapan pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan sekali lagi menemukan mereka dengan Pasukan Wales, perlawanan bersambung pada 13 Oktober (Rabu) jam 3.15 pagi waktu Malaysia di Reading Hockey Club.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: