
PEMENANG pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bagi acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) iaitu Abdul Latif Romly hari ini menerima insentif berjumlah RM150,000 daripada Kerajaan Negeri Perlis sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan beliau.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata penghargaan itu diberikan kerana Abdul Latif, 24, berjaya mengharumkan nama negara seterusnya Perlis melalui pingat yang disumbang atlet ini kepada tanah air.
Beliau menyerahkan insentif itu kepada Abdul Latif, yang hadir bersama-sama ibu bapanya iaitu Salmah Yatim dan Romly Mat, di Pejabat Menteri Besar.
Sementara itu, Azlan turut memaklumkan Perlis akan mewujudkan dua anugerah iaitu olahragawan dan olahragawati mulai tahun depan untuk memberikan penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri itu.
“Satu jawatankuasa akan ditubuhkan di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi menilai kriteria atlet yang layak diberikan anugerah itu,” katanya. – Bernama
Add Comment