
Oleh: JJFIRDAUS
SAYU hati apabila melihat sambutan kejuaraan Liga Perdana pasukan Negeri Sembilan diraikan dalam keadaan stadium yang kosong tanpa kehadiran penyokong setia.
Perkara yang sama juga berlaku ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut tetapi inisiatif kelab yang mengadakan ‘in-car viewing party’ di kawasan sekitar stadium sedikit mengubat kekecewaan ini.
Dengan perebutan kejuaraan liga menjadi pertaruhan, seharusnya Stadium Paroi dipenuhi oleh sekalian yang setia yang pastinya akan memberikan sokongan padu kepada para pemain skuad Hoben Jang Hoben.
Sampai bila stadium akan ditutup pintu kepada para penyokong. Jika pusat beli belah dan kedai makan boleh dibuka dengan pematuhan SOP yang ketat, mengapa sukan masih dianak tirikan.
Buka sahaja stadium kepada penyokong yang sudah lengkap vaksinasi dan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka sepanjang perlawanan perlu diwajibkan.

Ini bukan kali pertama negara berhadapan pandemik Covid-19 ini. Malah stadium juga pernah dibuka sebelum ini tanpa ada satu kluster pun yang tercetus. Itu zaman sebelum vaksin, sekarang sesudah vaksin sepatutnya lebih mudah.
Apa yang sedih, hanya penyokong bola sepak sahaja yang beria-ia mahukan stadium dibuka tetapi pihak berwajib masih bersikap acuh tak acuh seakan-akan bola sepak adalah perkara yang tidak penting.
Berbeza dengan mentaliti pihak berwajib di Eropah yang memastikan stadium kembali penuh kerana bola sepak adalah antara nadi ekonomi sesebuah negara di sana dan dianggap sebagai industri.
Di sini, bola sepak disebut sebagai industri tetapi layanan masih seperti hobi. Stadium adalah satu kawasan terbuka dengan para pemain dan pegawai berada dalam gelembung sukan yang memastikan mereka bebas dari virus Covid-19 sekaligus mencipta persekitaran yang selamat.
Apa yang dilakukan oleh JDT harus menjadi rujukan oleh pihak berwajib apabila JDT berjaya menganjurkan sambutan kejuaraan yang meriah dengan tertib serta mematuhi SOP dan hingga hari ini tiada satu kes positif pun dilaporkan.

Oleh itu diharap aksi Piala Malaysia yang akan membuka tirai hujung minggu ini akan diberikan kelonggaran oleh pihak berwajib agar penyokong boleh kembali ke stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Bukan hanya kelab yang akan menjana pendapatan tetapi peniaga kecil yang menjual burger dan air, penjaja kuaci, pengusaha parkir, dan syarikat pembersihan juga akan mendapat tempias pendapatan dari pembukaan semula stadium kepada penyokong.
Siapa kata bola sepak di Malaysia bukan industri. Ianya melibatkan satu rantaian ekonomi yang hebat tetapi sayang masih dianggap sebagai hobi dan sering diketepikan. Fikir-fikirkanlah.
Add Comment