Bola Sepak

Waspada tentangan pasukan bawahan liga – Syazwan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Syazwan (kiri) mahu rakan sepasukan sentiasa berwaspada pada aksi berdepan UiTM FC malam ini.

KEDUDUKAN di dasar liga tidak mencerminkan persembahan UiTM FC yang semakin mempamerkan peningkatan ketara dalam empat perlawanan terakhir Liga Super .

Pemain sayap Lang Merah, Mohd Syazwan Zainon berkata, lawan yang bakal ini juga mampu menghadirkan kejutan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, malam ini.

Jelasnya, jika rakan-rakannya memandang rendah terhadap UiTM, mereka mungkin kempunan meraih tiga mata penting sekali gus membuka ruang buat Penang FC atau Terengganu FC bagi merebut posisi naib juara Liga Super yang menawarkan tempat di Piala AFC.

“Lawan akan turun tanpa tekanan memandangkan mereka sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan dan akan memberi sedikit kelebihan kepada lawan.

“ Tiada jalan mudah buat Kedah menjelang perlawanan dengan UiTM walaupun ramai yang berkata tiada masalah kepada kami untuk menang kerana berdepan dengan lawan yang telah tersingkir ke Liga Premier.

“ Berdasarkan pengalaman, pasukan yang berada di bawah sering kali akan beraksi dengan bersungguh-sungguh apabila bertemu dengan pasukan yang berada di tangga atas,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia sudah mengkaji corak permainan UiTM semasa menentang PJ City baru-baru ini dan melihat lawan mempunyai skuad yang baik tambahan mereka kebelakangan ini sudah meraih dua kemenangan.

“ Kami tidak boleh keciciran sebarang mata dalam baki dua perlawanan yang tinggal ini kerana boleh jejaskan peluang kami ke Piala AFC kerana kedudukan kami sedang diekori rapat oleh Penang dan Terengganu, “ katanya.

Sebagai rekod, Kedah menang 1-0 pada pertemuan sulung dengan UiTM pada musim ini di Stadium UiTM Shah Alam, hasil jaringan tunggal Faizat Ghazli pada minit-42.

Syazwan yang kembali dari Selangor FC untuk bersama Kedah pada musim ini telah melakukan 12 penampilan dengan 7 daripadanya bermula dari kesebelasan utama.

Tidak banyak beraksi pada awal musim ekoran mahu pulih sepenuhnya terhadap kecederaan lama di buku lali, Syazwan mula menjadi pilihan pengendali, Aidil Sharin Sahak untuk digunakan pada 11 perlawanan terakhir.

Dia telah meledak dua jaringan setakat ini ketika membantu Kedah menewaskan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Ogos lalu selain seri 2-2 dengan Sri Pahang FC, pada 1 September di Stadium Darul Makmur.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: