
AKSI Kelayakan Piala Dunia di antara Brazil dan Argentina terhenti gara-gara kehadiran anggota polis dan pegawai kesihatan di padang perlawanan.
Ia difahamkan empat pemain Argentina yang melanggar peraturan kesihatan negara Brazil berkaitan dengan SOP (Operasi Prosedur Standard) Covid-19.
Negara Brazil mengambil langkah ketat kehadiran orang luar, terutamanya dari United Kingdom bagi mengekang penularan Covid-19 yang sehingga kini telah mengorbankan 580,000 rakyatnya.

Empat pemain Argentina yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris termasuk penjaga gol Emiliano Martinez (Aston Villa), serta dua pemain Spurs Cristian Romero dan Giovani Lo Celco baharu sahaja beraksi selama tujuh minit di Stadium Sao Paulo.
Manakala seorang lagi pemain Aston Villa Emiliano Buendia berada di bangku simpanan.
Mereka dilaporkan melanggar peraturan Brazil yang mengarahkan kuarantin 14 hari kepada individu yang datang dari UK, Amerika Selatan atau India.

Agensi kesihatan Brazil, Anvisa memberitahu, mereka menerima laporan bahawa empat pemain Argentina yang tiba di negara ini terbang dari Venezuela pada Jumaat, telah mengemukakan ‘maklumat tidak betul’ dalam borang pengisytiharan ketika berada dalam pesawat.
Anvisa seterusnya menghubungi pasukan kesihatan tempatan bagi mengambil pemain-pemain tersebut dan segera diletakkan dalam kuarantin dan menghalang mereka daripada berada di wilayah Brazil.
Perlawanan tersebut ditangguhkan.





Add Comment