Lain-Lain

“Saya dah boleh ‘move on’, lega! – Reezal Merican

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Reezal Merican memulakan tugas baharu di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Foto: FB

“SAYA dah boleh move on,” itulah luahan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Luahan Reezal Merican tersebut dikongsi dalam satu rakaman video sebaik sahaja Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir hari ini.

“Pada 23 Julai 2021 lalu bermulanya perjuangan Kontinjen Malaysia di temasya sukan terbesar dunia, iaitu sukan Olimpik edisi Tokyo 2020 dan diikuti temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos 2021.

“Hari ini, berakhirlah misi Kontinjen Paralimpik Malaysia membawa nama negara kita ke persada dunia.

“Ya… saya cuba sedaya upaya untuk sentiasa memberi liputan dan info aksi-aksi atlet kita. Sewaktu saya berada di bumi Tokyo bersama atlet, itulah peluang saya untuk menyampaikan semangat dan sokongan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka.

Reezal Merican bersama atlet-atlet berbasikal negara tiba di KLIA bulan lalu dari Tokyo 2020.

“Apatah lagi dalam keadaan temasya yang tidak ada penonton. Yang ada hanyalah rakan-rakan atlet, pegawai dan jurulatih sahaja untuk bersorak membangkitkan semangat.

“Saya akui masih belum ‘move on’ apabila saya diberi amanah ke Kementerian baharu.

“Saya tetap mahu berikan sokongan saya kepada atlet Paralimpik kerana itu janji saya kepada mereka. Itu juga azam diri saya sendiri untuk menghargai perjuangan mereka.

“Alhamdulillah kontinjen Paralimpik telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dan memukau! Pencapaian 3 pingat emas dan 2 pingat perak adalah pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan kontinjen Paralimpik negara! Lebih baik daripada Rio 2016,” luahnya yang kini memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Lebih manis menurut Reezal Merican temasya kali ini menyaksikan pencapaian pingat daripada 4 jenis sukan — Olahraga, Badminton, Boccia dan Powerlifting, berbanding Rio 2016 yang tertumpu kepada sukan Olahraga sahaja.

“Badminton dan Boccia kini menjadi sinar baharu penyertaan negara di Paralimpik. Sebelum ini, sandaran pingat hanya dari sukan Olahraga, Powerlifting dan Memanah sahaja. This is a remarkable milestone. Tahniah Badminton dan Boccia!

“Juga, penyertaan negara kali ini disulam satu rekod baharu Paralimpik dalam acara Powerlifting oleh Bonnie Bunyau dengan angkatan 228kg! Dan, pastinya jika penyertaan Ziyad diambil kira, kita register satu rekod dunia!.

“Apa pun, saya dengan rendah diri ingin rakamkan penghargaan, terima kasih dan tahniah kepada semua atlet kita, Olimpik dan Paralimpik.

“Anda semua Wira negara. Jujur, saya berasa kerdil apabila melihat kesungguhan, kegigihan dan pencapaian anda semua.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus menerus memberikan sokongan kepada atlet kita. Begitu juga rakan-rakan media, sports desk yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia. “Terima kasih juga buat Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan persatuan-persatuan sukan. Teruskan dengan usaha untuk bawa atlet kita ke peringkat yang lebih tinggi.

Reezal Merican (dua, kiri) turut menyambut kepulangan sebahagian daripada atlet Paralimpik dari Tokyo Jumaat lalu.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa bersama — memberi sokongan, mengkritik dan sebagainya. I really treasure the moments.

“Terima kasih kerana menjadikan sukan sebagai satu momen kebersamaan dan kebersatuan Keluarga Malaysia.

“Saya dah boleh move on lepas ni. Beralih sepenuhnya kepada tugasan baharu saya.

“Lega! Segala yang saya fikirkan tentang Olimpik dan Paralimpik telah pun berakhir. Namun sukan selamanya tetap di hati,” luahnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: