
BIARPUN sudah bertukar portfolio, bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican masih aktif mengemas kini keputusan atau aktiviti berkaitan atlet negara.
Malah beliau juga turut menjadi orang terawal memberi semangat dan ucapan tahniah kepada atlet-atlet negara yang kini sedang berjuang di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Beliau yang kini ditugaskan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memuatnaik kata-kata terakhirnya meninggalkan KBS di Facebook rasminya pada Isnin.
“Saya tidak akan lupa tanggal 10 Mac 2020 apabila saya diberi amanah menjadi sebahagian daripada keluarga besar KBS.

“Saya masih ingat lagi hari pertama saya menjejakkan kaki di KBS dan ia membawa perspektif yang cukup segar kepada saya. Bercakap soal belia yang merupakan passion saya dari dahulu lagi, begitu juga bercakap soal sukan yang merupakan harta dan kegemaran rakyat.
“Setiap cabaran yang datang, kita mampu berdiri bersama untuk atasinya dan saya dengan berbesar hati ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga buat setiap warga KBS,” tulisnya

Malah Reezal Merican juga turut berterima kasih kepada semua pengurusan tertinggi, para pegawai, staf sokongan, dan seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan.
“Semua bersama saya sejak hari pertama saya tiba di Menara KBS ini. Penghargaan juga buat rakan-rakan media, persatuan sukan, pertubuhan belia, peminat sukan, pimpinan belia yang sentiasa bersama-sama.
“Saya doakan Keluarga Malaysia KBS sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Taala. Saya titipkan sedikit bingkisan, imbasan sepanjang perjalanan bersama Keluarga KBS.
“Ke mana pun saya pergi, KBS tetap di hati.”








Add Comment