Badminton

Atur perlawanan: “Taufik sudah bagi nama pegawai…” – Chong Wei

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Chong Wei dedah sudah mengenal pasti pegawai terlibat.

LAGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan sudah mengetahui pegawai pasukan yang menawarkan wang kepada bintang Indonesia, Taufik Hidayat sewaktu Sukan Asia Doha 2006.

Menurut Chong Wei, Taufik sudah membalas panggilan telefonnya dan memberikan nama pegawai yang didakwanya menawarkan imbuhan untuk dia kalah di tangan pemain negara di separuh akhir temasya empat tahun sekali itu.

“Ya, Taufik sudah menjelaskannya tapi biarlah nama itu kami berdua sahaja yang tahu. Kata Taufik dia dihubungi pegawai itu sewaktu berada dalam bilik hotelnya.

“Taufik juga berkata tujuan pendedahannya itu bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sekadar mahu mengingatkan pemain sekarang supaya mementingkan perjuangan untuk negara, bukannya wang semata-mata,” katanya.

Difahamkan pegawai yang dimaksudkan Taufik itu, bukannya pengurus pasukan Malaysia seperti yang disebut-sebut sebelum ini.

Bercakap kepada CAKAP SUKAN, Chong Wei berkata, beliau memahami apa yang dilakukan oleh Taufik kerana ada pihak yang menuduh pemain-pemain termasuk dirinya yang ‘menjual’ perlawanan.

Chong Wei dan Taufik.

Pengalaman sebegini, katanya, pernah dirasainya terutama apabila kalah dalam sesuatu perlawanan dan mengakui pendedahan Taufik itu pastinya akan menimbulkan lagi tanggapan berkenaan.

“Sumpah saya tidak pernah melakukan perkara sejijik itu. Satu sen pun tidak pernah saya ambil.

”Setiap kali beraksi, saya mewakili negara dan pastinya mahukan kejayaan,” katanya.

Taufik sebelum ini mendakwa ada pegawai pasukan Malaysia yang menawarkan wang untuknya kalah kepada Chong Wei di separuh akhir itu dan dakwaan tersebut sudah dimuatnaik dalam saluran youtube rasmi Trans TV.

Menurut Taufik, pegawai terbabit menawarkan untuk mengandakan imbuhan yang dijanjikan oleh Indonesia, andai dia ‘kalah’ kepada Chong Wei.

Dalam perlawanan itu, Taufik menang 21-16, 21-18 ke atas Chong Wei. Malah dia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada 2002 di Busan, Korea Selatan selepas menundukkan bintang China, Lin Dan 21-15, 22-20 di final.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Atur perlawanan: Bayangkan kalau saya menang ketika itu – Chong Wei

Dalam dakwaannya, Taufik berkata pegawai terbabit meminta nombor telefonnya dan ketika ditanya untuk apa, pegawai itu mahu tahu sama ada dia boleh tewas kepada Chong Wei.

Sebagai rekod, bagi pingat emas Sukan Asia Doha, Indonesia menawarkan kira-kira 200 juta rupiah (kira-kira RM60,000).

Walaupun Taufik tidak menamakan pegawai terbabit, legenda badminton Merah Putih itu menjelaskan dia adalah bekas pemain negara.

Taufik, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 dan juara dunia 2005, menggantung raket pada Jun 2013 manakala Chong Wei, pemenang tiga pingat perak Olimpik 2008, 2012 dan 2016, bersara enam tahun selepas itu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: