
“MAAF, saya terkejut dan tidak tahu apa-apa mengenainya.”
Itu reaksi pertama Datuk Lee Chong Wei kepada CAKAP SUKAN ketika ditanya mengenai dakwaan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat terhadap usaha ‘mengatur perlawanan’ mereka di separuh akhir Sukan Asia Doha 2006.
Chong Wei mengakui terperanjat apabila menerima pesanan ringkas bertalu-talu di telefonnya pagi ini yang bertanyakan mengenai perkara itu.
“Saya sudah cuba menghubungi Taufik untuk mendengar sendiri daripadanya. Tapi, panggilan saya tidak dijawab lagi.
“Seboleh-bolehnya saya mahu tahu siapa pegawai yang dimaksudkannya itu kerana nama saya diseret sama.
“Waktu Sukan Asia Doha, saya masih dikira mentah ketika itu apa lagi ia adalah penampilan pertama di temasya tersebut,” katanya kepada CAKAP SUKAN.
Taufik mendakwa ada pegawai pasukan badminton Malaysia yang menawarkan wang untuknya kalah kepada Chong Wei di separuh akhir itu.
Dakwaan Taufik itu sudah dimuatnaik dalam saluran youtube rasmi Trans TV.
Menurut Taufik, pegawai terbabit menawarkan untuk mengandakan imbuhan yang dijanjikan oleh Indonesia, andai dia ‘kalah’ kepada Chong Wei.
Dalam perlawanan itu, Taufik menang 21-16, 21-18 ke atas Chong Wei sebelum memastikan pingat emas selepas menundukkan bintang China, Lin Dan 21-15, 22-20 di final.
Dalam dakwaannya, Taufik berkata pegawai terbabit meminta nombor telefonnya dan ketika ditanya untuk apa, pegawai itu mahu tahu sama ada dia boleh tewas kepada Chong Wei.
Sebagai rekod, bagi pingat emas Sukan Asia Doha, Indonesia menawarkan kira-kira 200 juta rupiah (kira-kira RM60,000).
Walaupun Taufik tidak menamakan pegawai terbabit, legenda badminton Merah Putih itu menjelaskan dia adalah bekas pemain negara.
Chong Wei berkata dia tetap berminat untuk mengetahui siapa pegawai yang dimaksudkan Taufik.
“Walaupun saya kalah, saya masih mahu tahu lebih lanjut terutama nama pegawai yang disebut Taufik.
“Bayangkan kalau saya menang dalam perlawanan itu, pastinya ia memberi kesan yang lebih buruk,” katanya.
Bekas editor Gosports Indonesia, Rahmi Aries Nova ketika dihubungi CAKAP SUKAN berkata dakwaan Taufik itu sebenarnya pernah disuarakan kepadanya pada 2006.

“Saya rapat dengan Taufik dan dia mengadu mengenai perkara itu ketika saya menghubunginya selepas dia muncul juara di Sukan Asia.
“Ketika itu, dia hanya menyatakan ada yang menawarkannya imbuhan untuk kalah di separuh akhir tanpa menyebut jawatan pegawai itu.
“Apa yang terlintas di kepala saya ketika itu, ia mungkin daripada sindiket perjudian. Cuma kali ini Taufik lebih spesifik dalam membuat tuduhannya,” katanya.
[…] itu bekas editor GoSports Indonesia, Rahmi Aries Nohva memberitahu portal Cakap Sukan bahawa dakwaan Taufik Hidayat itu pernah disuarakan kepadanya sebaik dia memenangi pingat emas pada […]
[…] [EKSKLUSIF] Atur perlawanan: Bayangkan kalau saya menang ketika itu – Chong Wei […]