Lain-Lain

MEL21 Nationals buka tirai hari ini


MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan juara-juara Liga E-sukan Malaysia 2021 (MEL21) peringkat negeri dan permulaan MEL21 peringkat kebangsaan (Nationals).

Program ini sebagai sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan Esukan Kebangsaan KBS dan melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), MEL21 peringkat negeri yang julung kali diadakan telah berlangsung pada 10 Julai sehingga 8 Ogos 2021 dan MEL21 Nationals akan berlangsung bermula dari 14 Ogos hingga 1 September 2021.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan kepada juara-juara peringkat negeri yang akan bersaing di MEL21 Nationals.

“Ini merupakan titik permulaan anda untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, sekaligus membuka peluang untuk anda mewakili negara di masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebanyak 288 para pemain dari 64 pasukan telah dinobatkan sebagai juara Negeri. Juara-juara ini akan mewakili negeri masing-masing (13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan) di dalam MEL21 Nationals, untuk merebut hadiah wang tunai RM20,000 untuk setiap kategori.

Kategori-kategori yang akan dipertandingkan semasa MEL21 Nationals adalah – PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EA Sports FIFA21 dan Dota 2.

MEL21 dianjurkan oleh ESI dengan kerjasama 16 buah persatuan esukan negeri.  Hadiah terkumpul berjumlah RM200,000 menjadi rebutan para peserta.

Hampir 30,000 orang pemain akar umbi mendaftarkan diri untuk menyertai MEL21, yang dilangsungkan secara dalam talian www.esukan.gg dan laman Facebook ESI mengikut SOP yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1.

Sambutan yang menggalakkan dengan 200,000 orang menonton perlawanan MEL21 peringkat negeri melalui platform kejohanan e-sukan kebangsaan ini.

ESI menjangkakan jumlah tontonan sebanyak 100,000 orang semasa MEL21 Nationals.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: