Lain-Lain

Majlis Belia Malaysia terima suntikan inisiatif RM7 juta

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Reezal Merican Naina Merican

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memahami kesulitan yang dihadapi oleh pertubuhan belia khususnya Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku badan induk pertubuhan belia peringkat kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

Peranan yang dimainkan Majlis Belia Malaysia cukup penting selaku Rakan Strategik KBS dalam mewakili suara belia kepada Kerajaan serta bekerjasama dalam menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan belia khususnya dalam aspek pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.

Kerjasama yang sedia terjalin di antara KBS dan MBM merupakan manfaat besar kepada gerakan belia di negara ini yang membolehkan pelbagai inisiatif dan program pembangunan belia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mencapai sasaran.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, KBS sentiasa komited dalam memperkasa peranan MBM dan meneruskan pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM seperti mana dilakukan pada tahun lalu.

“Sebagai satu lagi langkah di dalam Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS), peruntukan berjumlah RM7,081,000.00 akan diberikan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urus tadbir pertubuhan belia bagi tahun 2021.

“Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada MBM dan 145 badan- badan gabungannya yang terdiri daripada 19 Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan, 14 Majlis Belia Negeri (MBN), 106 Majlis Belia Daerah (MBD) dan 6 Pertubuhan Badan Beruniform (PBU).

“Inisiatif ini juga akan membolehkan gerakan pertubuhan belia berjalan dengan baik, diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Dalam masa yang sama, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada MBM sempena sambutan Ulang Tahun ke-73 Majlis Belia Malaysia yang juga disambut pada hari ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Reezal, beliau amat menghargai dan memuji pelbagai usaha, inisiatif serta program yang dilakukan oleh MBM di bawah kepimpinan Jufitri Joha sejak penularan Covid-19 yang banyak memberi manfaat kepada belia di negara ini seperti program turun padang serta pembangunan insan dengan kerjasama HSBC.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: