
PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) terus melangkah ke hadapan apabila tampil menyumbangkan pakaian kepada Pusat Sehenti Urus Mayat Kuala Lumpur (PUSUM WPKL) hari ini.
Ia merupakan kerjasama SAM dengan syarikat pengeluar pakaian HakkaClo yang turut prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pusat berkenaan.
PUSUM WPKL yang mempunyai seramai 100 orang petugas memerlukan pakaian outdoor bagi menjalankan tugas harian mereka yang semakin membebankan sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Kes kematian yang semakin meningkat sepanjang pandemik ini, telah menyebabkan pusat tersebut mengalami kekurangan pakaian untuk digunakan oleh para petugasnya bagi kerja-kerja pengurusan mayat.
Bagi SAM, sumbangan tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial (CSR) biro SAMprihatin bersama-sama rakan penaja mereka, selain bertujuan mengukuhkan hubungan baik dengan semua pihak di luar sana.
SAM mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi syarikat HakkaClo, Noor Sollihin Mohamed yang telah sudi memberi kerjasama bagi membantu masalah yang dihadapi oleh PUSUM WPKL.

Pengerusi SAMprihatin, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, ini adalah antara tanggungjawab sosial SAM menerusi biro SAMprihatin, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu sebaik mungkin.
“SAM mengucapkan setinggi terima kasih kepada HakkaClo yang telah tampil sebagai rakan penaja untuk membantu masalah yang dihadapi oleh PUSUM WPKL.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu mengatasi masalah yang sedang dihadapi oleh pusat berkenaan,” ujarnya ditemui pada majlis penyerahan sumbangan.
Majlis penyerahan tersebut yang disampaikan Presiden SAM, Norismadi Abd Manap kepada Pengarah PUSUM WPKL, Dr. Hafizam Hasmi yang berlangsung di pejabat pusat berkenaan di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Jalan Raja Muda Kampung Baru Kuala Lumpur.
Turut hadir Timbalan Pengarah Klinikal II Dr. Rusilawati (Merangkap Ketua Penyelaras Bilik Gerakan C19 (HKL) Timbalan Presiden SAM, Ahmed Faisal Jamal , Naib Presiden SAM, Mohd Hafizal Hamad dan barisan Exco yang lain.






Add Comment