
KEPUTUSAN penyertaan skuad B-20 tahun negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 adalah merupakan program jangka panjang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu adalah dari skuad B-20 kebangsaan ketika ini iaitu para pemain yang berusia 20 tahun dan ke bawah pada tahun ini (2021).
“Keputusan ini telah pun dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.
“Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam pada 2021 (telah ditunda ke 2022) dan di Kemboja pada 2023.
“Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” tegasnya.
Mengulas kedudukan pasukan selepas undian, Kim Swee menyifatkan penyertaan skuad B-20 bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J .
“Apa yang lebih penting, pendedahan kepada para pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.
“Kita akan bertemu Laos pada perlawanan pertama yang mana mereka merupakan lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
“Perlawanan kedua, Mongolia. Sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga, Thailand merupakan musuh tradisi kita dan juga pencabar utama.
“Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023,” katanya.












Add Comment