
MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima Jalur Gemilang sebagai tanda simbolik Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
Menurut perkongsian di Instagram rasmi Istana Negara, Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara pada Selasa.
Turut hadir pada majlis menghadap termasuk Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia.
Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Pada sesi ini juga, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan Kontinjen Negara di kedua-dua temasya tersebut.
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar atlet-atlet Negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia. Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar para atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua–dua temasya tersebut.
Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga atlet-atlet Negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.





Add Comment