Lain-Lain

Marbawi kongsi tip dengan anak buah menjelang Sukan Olimpik Tokyo


PENGALAMAN diraih Olimpian negara Muhammad Marbawi Sulaiman ketika beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 diharap dapat membantu pemanah muda Syaqiera Mashayikh di Tokyo bulan ini.

Marbawi yang banyak beraksi dalam acara recurve individu dan berpasukan lelaki di Beijing memberitahu bahawa dia banyak berkongsi tip bagi menyerap tekanan beraksi di pentas Olimpik kepada Syaqiera memandangkan ini kali pertama anak buahnya itu menyertai temasya berprestij dunia ini.

“Saya selalu beri nasihat kepada Syaqiera bagi membantu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal kerana suasana kejohanan besar di Olimpik sangat berbeza.

“Selain itu, Syaqiera diajar bagaimana mengatasi gemuruh kerana saya tidak mahu dia terkejut beraksi di hadapan penonton yang ramai di venue pertandingan nanti,” kongsinya kepada Bernama.

Syaqiera yang menyertai pasukan memanah negara tahun lepas bakal membuat kemunculan pertama pada Sukan Olimpik yang juga pengalaman ketiga di pentas antarabangsa selepas dua kejohanan di Paris, iaitu Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat ketiga Piala Dunia 2021 bulan lalu.

Syaqiera mencari pengalaman pertama di pentas Olimpik.

Dalam pada itu, Marbawi enggan memberi sebarang tekanan kepada atlet berusia 21 tahun ini, tetapi berharap Syaqiera mampu menyamai rekod atau perbaiki catatan peribadi terbaiknya 619 mata yang dicatat dalam dua kejohanan sebelum ini.

Marbawi yang kini menjadi jurulatih anak buahnya itu mengakui Syaqiera bertuah kerana dapat menjejak kaki ke Olimpik lebih awal memandangkan dia sebenarnya persiapkan atlet ini untuk Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Sebagai rekod, Syaqiera merupakan pemanah wanita ketiga layak ke Sukan Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: