
Oleh: JJFIRDAUS
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menggunakan peluang yang ada pada perlawanan keempat Liga Juara-Juara AFC esok sebagai medan untuk menebus kembali kesilapan dan ingin mengutip tiga mata penuh dari Pohang Steelers.
“Kini kami lebih mengerti bagaimana cara Pohang Steelers bermain manakala semua pemain yang bakal diturunkan sudah bersedia dan kami akan memberikan segalanya untuk membalas dendam,” komen Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora kepada media.
Pada sidang media pra perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu, Mora juga mengatakan bahawa keputusan 4-1 itu bukanlah gambaran sebenar JDT kepada mereka yang menonton perlawanan itu.

“Tiga penalti dalam satu perlawanan adalah bukan perkara yang normal tetapi kami akan memastikan tidak melakukan kesilapan yang sama dan berharap dapat memberikan persembahan terbaik,” tambah Mora.
Sementara itu kapten pasukan Farizal Marlias pula berkongsi nada sama dengan Mora dengan mengatakan perlawanan esok adalah peluang untuk kembali bangkit dan ianya juga adalah cerita dan bahagian yang berbeza dan JDT mahukan tiga mata penuh bagi memastikan mereka kekal bersaing dalam pertandingan.
Walaupun terpaksa menghadapi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu yang mencabar fizikal dan mental, para pemain sudah menjalani sesi pemulihan yang secukupnya dan semuanya sudah bersedia.
Skuad Harimau Selatan bakal menghadapi Pohang Steelers dalam perlawanan Kumpulan G esok jam 10 malam waktu Malaysia dengan kemenangan pasti akan menghidupkan kembali harapan JDT untuk layak ke peringkat 16 terbaik.











Add Comment