Bola Sepak

Sabah FC sambung kontrak tiga tonggak utama

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Alto Linus terus kekal bersama Sabah FC apabila menandatangani perjanjian baharu.

SABAH FC mengambil langkah awal melanjutkan kontrak tiga tonggak utamanya sehingga November tahun depan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia.

Pengurusnya, Marzuki Nasir berkata, ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Alto Linus, Randy Baruh dan pemain import, Saddil Ramdani menandatangani pelanjutan kontrak di ibu pejabat kelab yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Tegasnya, perlanjutan kontrak ini sebagai imbuhan atas prestasi terbaik mereka sepanjang pusingan pertama Liga Super serta komitmen pihak pengurusan Sabah FC menuju ke era pengurusan yang lebih profesional dan komprehensif.

“Kita tetap penuhi janji pihak pengurusan kepada pemain-pemain yang menunjukkan komitmen dan prestasi cemerlang serta memberangsangkan sama ada di dalam atau di luar padang sepanjang beraksi bersama Sabah FC.

“Ini langkah pertama dan berterusan untuk dipanjangkan kepada pemain-pemain yang lain untuk melanjutkan kontrak mereka selepas pihak pengurusan berpuas hati terhadap komitmen dan mutu permainan mereka,” katanya.

Saddil antara pemain yang berkualiti dalam pasukan kini akan terus membantu pasukan.

Marzuki berkata, kontrak ketiga-tiga pemain tersebut sepatutnya tamat November ini namun diperbaharui lebih awal berdasarkan persetujuan bersama antara ketiga-tiga mereka dan pengurusan Sabah FC.

“Bermula hari ini ketiga-tiga mereka akan menerima kontrak serta gaji baharu. Ini bermakna akan terdapat peningkatan gaji mereka selepas persetujuan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Sabah FC merancang untuk menandatangani pelanjutan kontrak beberapa pemain lagi dalam tempoh terdekat dan berharap komitmen yang ditunjukkan ketiga-tiga pemain ini akan menjadi contoh kepada pemain-pemain lain.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: