
Oleh: SURYATI MOHD NOR
KEPUTUSAN sama ada Sukan SEA ke-31 diteruskan atau tidak bakal diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.
Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-31 telah meminta tempoh dua minggu lagi untuk memberi keputusan akhir ketika mesyuarat bersama ahli gabungan secara atas talian pada Khamis.
Mesyuarat seterusnya bakal berlangsung pada 8 Julai 2021 bagi mengumumkan keputusan akhir.
Awal bulan ini, lapan dari 11 negara Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) membantah cadangan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam 2021 untuk menangguhkan temasya itu ke tahun depan berikutan peningkatan kes Covid-19.
Decision on SEA Games 2021 in two weeks https://t.co/cEyt1HxG97
— ASEAN Football (@AFFPresse) June 24, 2021
“Mereka (Vietnam) masih ragu-ragu untuk membuat keputusan,” ujar wakil Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) Presiden Abraham Tolentino dipetik daripada businesworldonline.
Dalam pada itu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memberitahu pihak jawatankuasa penganjur berkongsi perkembangan terbaru mengenai persiapan mereka bagi menganjurkan temasya dwitahunan itu.
“Ketika usaha sedang dilakukan bagi menganjurkan Sukan SEA ke-31 mengikut jadual yang ditetapkan (21 November hingga 2 Disember), ahli gabungan bersetuju dengan permintaan Jawatankuasa Penganjur Vietnam untuk diberi tempoh dua minggu sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Mesyuarat akan diadakan semula pada 8 Julai ini jam 2 petang,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini lapan negara yang tidak bersetuju penangguhan temasya ini adalah Filipina, Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor Leste.






Add Comment