Lain-Lain

Jun Hoong terlepas ke Tokyo gara-gara perubahan syarat kuota kelayakan FINA

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil maklum akan status kelayakan atlet terjun negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Cheong Jun Hoong.

Keputusan terbaru Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA)  telah memaklumkan kepada pihak Persatuan Renang Malaysia (MAS) pada 22 Jun 2021 bahawa tidak ada slot yang akan diperuntukkan kepada Jun Hoong untuk bertanding dalam acara 10 meter Platform Individu.

Ia berikutan daripada keputusan selepas FINA Diving World Cup 2021 pada 6 Mei 2021 dan disiarkan pada 12 Mei 2021 yang menyatakan bahawa terdapat perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu iaitu hanya dua belas (12) tempat sahaja diperuntukkan berdasarkan keputusan di Kejohanan FINA Diving World Cup 2021 berbanding dengan lapan belas (18) tempat yang ditetapkan sebelum ini.

“Keputusan oleh FINA ini dilihat bertentangan dengan syarat kelayakan asal yang diluluskan oleh FINA sebelum itu dan ia telah menjejaskan harapan Jun Hoong serta beberapa penerjun dari negara lain.

“Saya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh Jun Hoong pada ketika ini. Saya juga memahami kesukaran yang laluinya sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula di mana pada satu ketika beliau telah hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang beliau alami,” ujar Reezal dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Reezal turut memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk berbincang secara terperinci dengan Jun Hoong, jurulatih dan Persatuan Renang Malaysia untuk memperinci dan meneruskan program latihan yang sebelum ini terbukti berkesan.

“Semoga Jun Hoong akan dapat meneruskan program latihan menuju Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China. Saya difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah pun menghantar surat rayuan kepada International Olympic Committee (IOC) yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan tersebut.

“Kita berharap IOC dan FINA dapat memberi pertimbangan semula berkenaan perkara ini,” tambahnya.

Sebelum ini Jun Hoong telah menjalani pembedahan kedua-dua belah lutut pada September 2018 yang menyaksikan dia terlepas peluang bertanding di Sukan Asia Palembang 2018 sebelum dibenarkan memulakan latihan ringan pada bulan Mac 2019.

Jun Hoong seterusnya diluluskan untuk kembali berlatih secara intensif di bawah kendalian bekas Ketua Jurulatih Yang Zhuliang di China pada 17 November 2019.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: