TIDAK ramai tahu bahawa Ben Brereton sebenarnya langsung tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Sepanyol !
Dilahirkan di Stoke-on-Trent, England, tetapi mewakili jersi pasukan kebangsaan Chile di Copa America 2021.
Ibunya, Andrea Diaz, lahir di Concepcion, Chile dan merantau ke Stoke-on-Trent pada tahun 1980-an. Manakala, ayahnya, Martin Brereton, adalah seorang polis dan pemain bola sepak amatur tempatan.
Walaupun berdarah Chile, Brereton membesar di England dan meniti karier bola sepak di sana. Setelah memasuki akademi Stoke City, dia kemudian pindah ke Nottingham Forest pada 2015 dan menjalani debut profesional di sana pada 2017.
Perjalanan karier Brereton cukup bagus pada peringkat junior, membuatnya dipanggil memperkuat pasukan England Bawah-19 dan bermain dalam kejohanan Piala Eropah B-19 pada 2017 bersama Mason Mount dan Reece James, di mana England keluar sebagai juara.
Brereton menjadi salah seorang penjaring terbanyak kejohanan dengan sumbangan tiga gol. Dia juga sempat tampil untuk skuad England B-20, namun hanya sekali saja. Selepas itu, tiada lagi panggilan untuknya dari Three Lions kerana dia tak pernah bermain di Liga Perdana Inggeris.
Dari Nottingham, Brereton kemudian berpindah ke Blackburn Rovers pada 2018. Awalnya berstatus pinjaman, namun kemudian menjadi tetap. Setelah dua musim pertama banyak menjadi simpanan, di musim ketiga barulah dia diberi kesempatan tampil lebih banyak minit permainan.
Pada saingan Liga Kejuaraan 2020/21, Brereton tampil 40 kali, 30 di antaranya diturunkan dalam kesebelasan utama. Dia menghasilkan tujuh gol dan lima umpanan. Bakatnya kemudian berjaya dihidu oleh jurulatih kebangsaan Chile, Martin Lasarte, yang mengetahui dia juga berdarah Chile.
Setakat ini, dia kerap diturunkan dalam empat pertandingan di Copa America 2021, menjaringkan satu gol dan satu umpanan. Chile juga sudah layak ke suku akhir.
Namun masalah utama dihadapi oleh Brereton adalah isu bahasa,
“Saya separuh Chile. Ibu saya dari Chile, manakala ayah orang England. Rakan sepasukan saya tidak mempercayainya.
“Saya belajar sejumlah kata kunci bahasa Sepanyol ketika ini. Saya banyak bercakap dengan Francisco Sierralta (bermain di Watford), kerana dia memahami bahasa England. Tapi secara keseluruhan, saya akrab dengan semua orang,” kata Brereton, dipetik Marca.
Kini, tumpuan terarah kepada Brereton sama ada mampu menjulang kejuaraan bersama Chile. Selain itu, tentunya dia juga berharap dapat bermain di kancah Liga Perdana Inggeris suatu hari nanti.
Add Comment