Lain-Lain

Trio memanah lelaki negara sedih gagal tunaikan hasrat arwah Haziq

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

TERKILAN dan kecewa. Begitulah perasaan yang membelenggu trio memanah recurve lelaki negara.

Bukan sahaja kecewa tersingkir pada suku akhir Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, Sabtu lepas, namun lebih menyedihkan trio yang dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin itu tidak berupaya menunaikan hasrat bekas rakan sepasukan mereka, Allahyarham Haziq Kamaruddin.

Allahyarham Haziq yang sebelum ini pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik di London 2012 dan Rio 2016 memasang impian untuk membuat penampilan ketiganya pada temasya di Tokyo bulan depan, sebelum meninggal dunia pada 14 Mei lalu.

“Memang ada perasaan terkilan kerana tidak dapat tunaikan permintaan arwah Haziq,” jelas Zarif ketika dihubungi Bernama.

Impian trio negara ke Tokyo terkubur selepas tumpas 6-2 kepada pasukan Ukraine yang diwakili Oleksii Hunbin, Heorhiy Ivanytskyy dan Ivan Kozhokar pada peringkat suku akhir kempen kelayakan terakhir Sukan Olimpik itu.

Zarif yang menggantikan Allahyarham Haziq bagi kejohanan di Paris itu berkata, nasib mungkin tiak menyebelahi mereka untuk layak ke Tokyo walaupun merasakan sudah tampil dengan prestasi terbaik.

Pemanah berusia 22 tahun itu juga mengakui kurang berpengalaman bersaing di peringkat tertinggi selain beraksi pada saat genting seperti di Paris membantutkan usahanya untuk membantu rakan sepasukan lain layak ke Tokyo.

Sementara itu, Khairul Anuar terlebih dahulu sudah mengesahkan tempat ke Tokyo menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar,29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016 yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat aksi pertama di temasya di Brazil itu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: