Lain-Lain

Olimpik Tokyo 2020: Status Jun Hong hujung bulan ini


Mae Chen

SETIAUSAHA Agung Persatuan Renang Malaysia (MS),  Mae Chen memaklumkan status penerjun negara Cheong Jun Hong layak ke sukan Olimpik Tokyo 2020 atau sebaliknya akan diketahui hujung bulan ini.

Ini kerana, tarikh akhir semua negara perlu menghantar senarai nama adalah pada 21 Jun depan sebelum Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memaklumkan Cheong Jun boleh menggalas cabaran negara ke sukan Olimpik Tokyo atau perlu menunggu lebih lama lagi.

“Kita mesti tunggu jika masih ada slot lagi selepas semua negara menghantar senarai perenang masing-masing (12 terbaik) hujung bulan ini.

“Sebaik FINA menerima semua nama berkenaan, badan induk renang dunia itu akan melihat atau mengetahui berapa jumlah slot yang masih lagi kosong.

“ FINA akan mula menyenaraikan perenang untuk untuk tempat ke 13 dan seterusnya. Oleh itu, pada masa sekarang adalah lebih baik kita tunggu,” jelasnya.

Jun Hong yang merupakan bekas juara dunia 2017 terpaksa menanti pengesahan daripada FINA berhubung statusnya untuk membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Difahamkan, FINA hanya memberikan 12 kuota bagi acara individu pada Piala Dunia Terjun 2021 berbanding 18 slot sebelum ini untuk layak secara automatik ke Olimpik Tokyo.

Jika hanya 12 kuota, ia bermakna Jun Hoong terpaksa melupakan hasratnya kerana dia menamatkan saingan 10 m platform kejohanan itu pada tempat ke-18.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: