Antarabangsa

Copa America: Gol cantik Messi gagal bantu kemenangan Argentina

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KAPTEN Argentina Lionel Messi berjaya menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma tetapi masih gagal membantu Argentina untuk mengatasi Chile dalam perlawanan Kumpulan A Copa America 2021.

Jaringan Messi pada minit ke-33 itu dipadam jaringan Eduardo Vargas pada minit ke-57 untuk keputusan kekal 1-1 dan memberikan kedua-dua pasukan satu mata dalam perlawanan mendebarkan di Rio De Janiero.

Argentina mahu membuktikan bahawa mereka masih pasukan yang hebat dengan menjuarai kejohanan edisi ini selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1993.

Serangan demi serangan dilakukan tetapi benteng Chile tetap kebal dengan penjaga gol, Claudio Bravo cemerlang mematahkan segala peluang yang dicipta oleh Argentina.

Chile juga kerap mencemaskan kubu Argentina tetapi mereka menghadapi masalah penyudah yang dilihat masih kurang menyengat walaupun dibarisi pemain yang berpengalaman.

Hanyalah pada minit ke-33 Messi menunjukkan kepakaran beliau dalam situasi bola mati dengan gol ‘trademark” beliau. Namun, Chile bangkit menyamakan kedudukan apabila Eduardo Vargas pantas menyambung bola lantunan sepakan penalti yang diambil Arturo Vidal.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Paraguay bangkit setelah ketinggalan untuk menewaskan Bolivia 3-1 sekaligus mendahului kumpulan dengan tiga mata.

Tiga jaringan babak kedua dihasilkan Paraguay mengakibatkan Bolivia yang bermain 10 pemain selama 45 minit terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka dalam kempen kali ini.

Kedudukan Kumpulan A menyaksikan Paraguay mendahului dengan tiga mata diikuti Argentina dan Chile dengan satu mata manakala Bolivia tercorot tanpa sebarang mata manakala Uruguay belum turun beraksi.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: