Sepak Takraw

Menteri ada formula selesaikan kemelut PSM

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI (FOTO/VIDEO)

FORMULA  penyelesaian mengatasi kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan dilaksanakan bagi memastikan badan induk sukan berkenaan kembali mendapat kepercayaan kesemua pemegang taruh.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dia mengikuti perkembangan secara dekat apa yang berlaku dalam PSM dan memaklumkan apa pun yang berlaku ianya perlu diselesaikan mengikut prosedur.

“Ianya perlu diselesaikan melalui proses undang-undang, peraturan dan perlembagaan semua ini perlu diambil kira.

“Perletakan jawatan Presiden PSM , Datuk Ahmad Ismail (Tok Mat) yang saya anggap adalah membuka lembaran baru kepada penyelesaian kemelut ini yang telah berterusan sebulan lebih dan saya juga memahami pendirian 11 ahli gabungan yang keluar dari PSM punyai sebab tertentu dalam keputusan mereka ambil.

“Namun saya nak maklumkan penyelesiaan yang nak diambil ini perlulah secara menyeluruh.

“Saya nak maklumkan, InsyAllah ada formula yang akan dapat cari jalan lebih tuntas agar PSM ini yang berusia lebih 60 tahun mempunyai sejarah perjalanan yang agak panjang, boleh dilakukan bentuk penyelesaian yang akan membawa persatuan ini kembali kepada keadaan yang dapat satukan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan bagi meninjau program latihan berpusat secara kuarantin untuk para atlet, hari ini.

Reezal berkata, Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan menggunakan pendekatan perantaraan untuk mencari jalan yang lebih tuntas dan praktikal yang akan bawa keyakinan kepada semua.

“Bukan hanya untuk 11 ahli gabungan yang keluar dan PSM sahaja tetapi keyakinan kepada rakyat yang jadi peminat. Penyelesaian ini tidak boleh mengambil jalan mudah, keyakinan kepada KBS selaku pemegang taruh, keyakinan kepada Astaf, Istaf yang merupakan pemilik sukan itu sendiri.

“Jadi semua pihak yang jadi pemegang taruh ini perlu diberikan keyakinan, saya harap semua orang beri kerjasama dan saya yakin hasrat mereka semua ke arah itu, jika perlulah perubahan itu biarlah ia dilakukan di meja rundingan,” tegasnya yang turut menyifatkan Tok Mat seorang berjiwa besar dengan keputusan perletakkan jawatannya.

 

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: