Antarabangsa Badminton Terkini

Terbuka Austria: Wan Arif-Haikal raih gelaran sulung peringkat senior


Image

PASANGAN muda negara, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri beroleh tonik terbaik apabila meraih gelaran pertama peringkat senior apabila muncul juara beregu lelaki Terbuka Austria, malam ini waktu Malaysia.

Wan Arif-Haikal, kedua-duanya berusia 18 tahun, muncul juara selepas menundukkan pilihan kelima yang juga pasangan veteran Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15 dalam masa 39 minit.

Ini juga hadiah terbaik untuk Wan Arif yang akan menyambut harijadinya yang ke-19, Ahad depan.

Kejuaraan ini juga sedikit sebanyak menebus kehampaan gandingan itu yang tidak dapat beraksi di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu yang dibatalkan akibat pandemik Covid 19, di mana mereka disandar membawa pulang gelaran.

Sebagai rekod, Wan Arif-Haikal, masing-masing dari Terengganu dan Kelantan, baru dinaikkan ke skuad senior awal tahun ini.

Image
Anna Cheong-Yap Cheng Wen tewas di final beregu wanita.

Sementara itu, impian melihat Malaysia meraih gelaran ketiga di Terbuka Austria tidak kesampaian apabila Anna Cheong-Yap Cheng Wen tewas di final beregu wanita.

Mereka tewas 11-21, 16-21 kepada gandingan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani dalam pertarungan yang berlangsung 43 minit.

Terdahulu, dalam final beregu campuran, pasangan negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meraih kemenangan selepas menundukkan William Villeger-Sharone Bauer 16-21, 21-9, 21-19.

Sementara itu, Indonesia turut muncul juara dalam acara perseorangan lelaki apabila Panji Ahmad Maulana menewaskan pemain Perancis, Arnaud Merkle 11-21, 21-8, 21-15 di final.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading