GANDINGAN Choong Hon Jian-Toh Ee Wei mengutip gelaran antarabangsa ketiga mereka selepas menjuarai acara beregu campuran kejohanan badminton Terbuka Austria, malam ini waktu Malaysia.
Pasangan negara terpaksa bangkit daripada kekalahan 16-21 di set pertama, untuk menang dua set berikutnya 21-9, 21-19 ke atas pilihan utama, William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis.
Pujian harus diberikan kepada Hon Jian yang bermain dalam kesakitan berikutan kekejangan perut dialami sewaktu perlawanan separuh akhir beberapa jam sebelum itu.
Berikutan kecederaan Hon Jian itu, perlawanan selama 46 minit itu sememangnya memeritkan buat pasangan negara apa lagi menentang lawan yang berada pada ranking ke-67 dunia berbanding mereka pada 182.
Aksi final ini lebih kepada perhitungan antara kecederan dan kecergasan berikutan Villeger-Bauer hanya dapat berehat kira-kira 90 minit selepas perlawanan separuh akhir mereka, sebelum turun beraksi di final.
Malah penganjur terpaksa melewatkan aksi final selama 30 minit untuk memberikan tempoh rehat yang memadai kepada pasangan Perancis itu.
Ini adalah kejuaraan ketiga untuk Hon Jian-Ee Wei dalam tiga kejohanan yang disertai mereka sejak digandingkan pada pertengahan Februari lalu.
Sebelum ini, mereka menjuarai Terbuka Poland pada Mac lepas diikuti Kejohanan Antarabangsa Slovenia, minggu lalu.
Sementara itu, pilihan utama perseorangan wanita dari Sepanyol, Clara Azurmendi hanya mengambil masa 22 minit untuk memastikan kejuaraan miliknya selepas mudah menjinakkan wakil Perancis, Yaelle Hoyaux 21-6, 21-14.
Add Comment