Bola Sepak Semasa Terkini

“Ketiadaan Shahrul Saad seperti kehilangan buat pasukan”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

PASUKAN bola sepak kebangsaan kembali berkumpul menjalani latihan sebelum terbang ke Dubai 20 Mei ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu memulakan latihan menghadapi baki saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal diadakan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Menurut Cheng Hoe, semua pemain yang hadir melaporkan diri di kem latihan hari ini berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.

“Cuma Syahmi Safari mungkin akan tiba esok memandangkan dia ada hal keluarga untuk diuruskan hari ini.

“Saya harap dia dan semua pemain lain dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pasukan, dan tidak ada masalah-masalah lain.

“Empat pemain berpengkalan di luar negara (Luqman Hakim,  Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan) akan terus ke sana (Dubai),” ujarnya kepada media pada Ahad.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui ketiadaan Shahrul Saad agak terasa apabila pemain pertahanan itu terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

“Sudah tentu ketiadaan Shahrul Saad seperti kehilangan buat pasukan kerana dia memainkan peranan penting di barisan pertahanan.

“Dia bersama dalam skuad sejak saya mengambil alih pasukan ini. Tetapi pemain-pemain lain yang masuk  seperti Junior, Adam Nor, Irfan Zakaria, Dominic diharap dapat bagi yang terbaik di barisan pertahanan,” tambah Cheng Hoe.

Skuad negara hanya menjalani latihan selama empat hari di Stadium Bukit Jalil sebelum terbang ke Dubai Khamis ini.

Mereka bakal memulakan aksi pemanas badan dengan dua perlawanan persahabatan bertemu Kuwait (23 Mei) dan Bahrain pada 28 Mei ini.

Dengan tempoh latihan yang cukup terhad ini, Cheng Hoe pastinya sudah membuat percaturan terbaik menjelang perlawanan penting bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: