
BEREGU campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berharap untuk mengulangi kejayaan luar biasa mereka pada Sukan Olimpik Rio di Brazil lima tahun lalu.
Impian pasangan iu untuk meraih pingat emas terkubur selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, 14-21,12-21 di Riocentro.
Peng Soon,33, menegaskan tiada apa yang mustahil di Olimpik Tokyo dan berharap dapat melepasi hingga ke final sebelum mengakhiri karier dalam bidang badminton.
“Saya berharap kami dapat berjuang hingga ke final,” ujarnya kepada Bernama.
Berikutan itu, penampilan kedua mereka dan terakhir di Sukan Olimpik, Liu Ying,31, berjanji untuk mempamerkan aksi menakjubkan yang akan dikenang oleh semua peminat badminton negara dan dunia.
Liu Ying yang dinamakan salah seorang daripada dua pembawa bendera Malaysia di Tokyo membayangkan mereka akan menghadapi cabaran lebih getir berbanding di Rio dan menyeru rakyat Malaysia menyokong mereka kerana ia dapat menyuntik semangat mereka untuk beraksi dengan lebih baik.
Malah Liu Ying berharap untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka pada Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura 25-30 Mei ini.
Sukan Olimpik dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 28 Ogos ini.








Add Comment