
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PENGENDALI Sri Pahang FC Dollah Salleh ternyata berpuas hati dengan persembahan empat pemain import baharunya ketika aksi bertemu Perak FC.
Empat pemain import baharu yang ditandatangani minggu lalu ialah Aung Kaung Mann (Myanmar), Manuel Hildago (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).
“Memang nampak perbezaan yang berlaku berbanding ketika aksi bertemu Selangor FC minggu lalu dengan perubahan kemasukan pemain import baharu.
“Namun agak terkilan pada minit-minit terakhir yang sepatutnya tidak ambil lewa dengan jaringan 3-1.
“Dan dengan keputusan itu (jaringan akhir Perak FC) perlu kena terima. Sekarang jumlah jaringan sangat penting,” jelasnya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Dollah mengakui tempoh rehat panjang sepanjang dua bulan ini akan digunakan untuk meningkatkan pretasi kecergasan pemain-pemain importnya.
“Apa yang kita lihat keempat-empat pemain import ini masih lagi ‘struggle’ dengan kecergasan selepas keluar daripada kuarantin dan belum cukup menjalani latihan sepenuhnya.
“Tetapi dengan pengalaman, mereka dapat membantu pasukan.”
Pada perlawanan tersebut menyaksikan pemain muda import Myanmar Aung Kaung Mann meledak gol pertama sebelum Kenny Athiu menambah dua jaringan.
Manakala Perak FC meraih gol menerusi Leandro Dos Santos dan Raianderson.
Sri Pahang FC kini mengumpul 12 mata daripada 13 perlawanan, berjaya keluar daripada zon penyingkiran dengan berada di kedudukan kesembilan liga.









Add Comment