Bola Sepak Komentar Terkini

Aura Liga Malaysia 2021 luar biasa


 

Oleh MOHD FARIQ

AURA Liga Malaysia musim 2021 memang dalam kelas tersendiri.

Puas, teruja dan mendebarkan.

Itulah penulis dapat simpulkan sepanjang perjalanan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Premier baru-baru ini.

Paling hangat diperkatakan adalah kejayaan pasukan Terengganu FC (TFC) yang menamatkan rekod kebal Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 21 bulan Liga Super sejak Julai 2019.

Malah jaringan tunggal milik Hakimi Abdullah yang memastikan TFC meraih kemenangan 1-0 juga menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatatkan kekalahan pertama di Stadium Sultan Ibrahim.

Pertama penulis ingin memuji kedua-dua pasukan sama ada JDT atau TFC yang mempamerkan permainan berkualiti tinggi yang berjaya memuaskan hawa nafsu mata kira-kira 300,000 penonton yang menyaksikan siaran langsung melalui saluran youtube, unifi.

Musim ini kita sama-sama dapat menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu JDT, TFC dan Kedah Darul Aman (KDA) yang turut tidak ketinggalan berada dalam podium tiga teratas Liga Super.

Selain JDT, aksi membabitkan Selangor FC juga turut mendapat tumpuan penonton. (Foto : FB Selangor FC )

Juara tujuh kali berturut-turut, JDT masih kekal di puncak Liga Super dengan meraih 23 mata diikuti TFC (21 mata) dan KDA mengutip 20 mata.

Penulis yakin inilah momen yang dimahukan oleh peminat-peminat bola sepak tempatan yang mahu menyaksikan persaingan berlaku di antara sesama pasukan bertanding.

Bukan dengki atau iri hati tetapi kata orang, kepuasan melihat perebutan takhta liga adalah kenikmatan dalam sesuatu perjuangan bola sepak sebenar.

Namun paling mencuri tumpuan adalah semangat sukan yang ditunjukkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencemar duli mengucapkan tahniah kepada barisan pemain TFC di atas kejayaan mereka baru-baru ini.

Perbuatan Tunku Ismail sepatutnya dijadikan contoh terbaik kepada semua pihak di mana kita harus mengekalkan semangat kesukanan di sebalik rivalry dalam suasana bola sepak Malaysia.

Jadi hormati antara satu sama lain dan kita sebagai penyokong harus terus menyemarakkan lagi rasa hormat dan semangat kesukanan tinggi sesama kita.

Dalam masa yang sama penulis juga dapat menyaksikan keghairahan penyokong melalui pembelian jersi-jersi yang dipromosikan oleh kelab-kelab Liga Malaysia.

Sold out itu hampir pasti berlaku sekali gus membuktikan betapa penyokong-penyokong telah memberikan sokongan teguh kepada indistri bola sepak tempatan.

Cuma penulis ingin menasihatkan kepada pengeluar jersi harus mencari mekanisme terbaik untuk memberikan kepuasan kepada penyokong di mana ada beberapa tempahan secara atas talian masih belum menyakinkan.

Ini kerana ada beberapa penyokong masih belum mendapat jersi yang ditempah secara atas talian sementara pengeluar jersi sudah membuka tempahan untuk set jersi kedua.

Fikirkan.

LIGA PREMIER TIDAK KURANG HEBAT PERSAINGANNYA

Perebutan tahkta Liga Premier juga menambat perhatian pemerhati bola sepak tempatan.

Pasukan pilihan, Negeri Sembilan dan Sarawak United dilihat berjaya mengekalkan karakter mereka sebagai pasukan yang cukup ampuh dalam saingan Liga Premier musim ini.

Ketika Liga Super menyaksikan persaingan tiga penjuru, Liga Premier juga berdepan skrip sama apabila Negeri Sembilan menduduki tangga teratas dengan kelebihan 18 mata disusuli Sarawak United (17 mata) tetapi kekurangan satu perlawanan dan Kelantan FC berada di tangga ketiga dengan kelebihan 16 mata.

Seperti penulis katakan sebelum ini, perjalanan liga akan menjadi lebih sihat dan seimbang jika ada lebih dari dua pasukan bersaing merebut kejuaraan.

Apa yang pasti kita dapat melihat betapa pasukan-pasukan Liga Malaysia sedang mendaki mencari kualiti tersendiri demi kepuasan penyokong.

Namun paling membanggakan penulis adalah media-media tempatan sudah semakin berani untuk menggunakan laporan bola sepak tempatan di dada belakang akhbar.

Lebih membuatkan penulis tersenyum seorang diri apabila masyarakat negara sudah mula memberikan tumpuan dan lebih banyak berbicara mengenai Liga Malaysia berbanding liga luar negara dalam laman media sosial.

Sikit demi sedikit orang ramai mula menyedari kepentingan peranan penyokong bola sepak Malaysia dan penulis optimis liga kita akan kembali meriah sama seperti zaman dahulu kala.

Bukan apa, kalau tidak kerana kita siapakah lagi yang akan menyokong Liga Malaysia?

Jadi berbanggalah dengan produk sendiri, berbanggalah dengan pasukan tempatan dan paling penting terus memberikan sokongan kepada Liga Malaysia.

Penonton mematuhi SOP yang telah ditetapkan .

Pada masa sama jangan kita lupa untuk memastikan semua operasi standard prosedur (SOP) diikuti sebaiknya dan ini akan terus memberi jaminan Iiga kita akan membenarkan penonton di stadium.

Setakat ini kesemua pasukan memberikan sepenuhnya tanggungjawab terhadap segala SOP yang telah ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Syabas kepada semua pasukan. Teruskan usaha anda.

Akhir kata daripada penulis, biarlah debaran penyokong sentiasa berterusan dalam memastikan keghairahan peminat menjadi dominan untuk terus bersama dalam Liga Malaysia musim ini.

INI LIGA KITA, INI RUMAH KITA.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d